KOTA KINABALU : Dua kampung di negeri ini dipilih menjadi perintis kepada pelaksanaan Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KADB).
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata, dua lokasi itu adalah di Kampung Likas, Kota Kinabalu dan Kampung Benoni di Papar.
Beliau berkata, inisiatif intervensi komuniti itu turut diperkuatkan melalui pemerkasaan Program Skuad Antidadah Bersatu Lawan Najis Dadah.
Menurutnya, inisiatif itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan komuniti setempat.
“Disamping itu juga, AADK kini giat menggerakkan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di peringkat nasional.
“Program berskala besar yang telah diluncurkan oleh Ketua Menteri Sabah pada 16 Februari lalu itu menggunakan model kitaran tindakan strategik dua hala iaitu pendekatan “Top-Down” (Pihak Atasan ke Bawah) dan “Bottom-Up” (Akar Umbi ke Atas),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini pada Isnin.
Ruslin berkata, pendekatan hibrid itu bertujuan memobilisasikan komuniti secara total, sekali gus membina benteng pertahanan sosial bermula dari institusi keluarga bagi mengurangkan kebergantungan serta permintaan terhadap dadah atau bahan.
“AADK menaruh keyakinan tinggi bahawa komitmen padu yang ditunjukkan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah akan menghasilkan keputusan yang konstruktif, praktikal, dan berimpak tinggi.
“Ini adalah demi memastikan negeri Sabah dan Malaysia amnya bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara,” katanya.



