SEMPORNA: Kerajaan sedang mengatur pelan jangka panjang bagi menangani isu penutupan Jeti Awam Semporna (Jeti Kahanga) dan penempatan semula rumah atas air demi memastikan pembangunan yang lebih terancang serta kesejahteraan rakyat di daerah ini.
Mantan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulabayan, Datuk Abd Hajan Gurimbang berkata, masyarakat tidak seharusnya terburu-buru membuat kesimpulan berhubung kedua-dua isu berkenaan kerana ia memerlukan penyelesaian menyeluruh yang mengambil kira kepentingan semua pihak.
Mengulas isu Jeti Kahanga, beliau menjelaskan tapak berkenaan merupakan tanah milik swasta yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu untuk tujuan pembangunan hotel.
Menurutnya, status pemilikan tanah tersebut perlu dihormati, manakala penggunaan jeti itu oleh Majlis Daerah Semporna (MDS) sebelum ini hanyalah bersifat sementara bagi kemudahan awam.
“MDS seharusnya meneliti terlebih dahulu status pemilikan dan kegunaan tanah sebelum membina kemudahan awam di situ bagi mengelakkan masalah seperti yang berlaku hari ini.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan MDS telah mengenal pasti dan mencadangkan satu tapak baharu yang lebih sesuai bagi menjamin kemudahan, keselamatan dan keselesaan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan kini sedang merancang pembinaan jeti baharu yang lebih selesa, khususnya untuk kemudahan bot komuniti dari pulau-pulau sekitar, dan pelaksanaannya dijangka disegerakan.
Sementara itu, menyentuh isu rumah setinggan atas air, Abd Hajan berkata Semporna memerlukan pelan pembangunan yang lebih tersusun memandangkan daerah itu merupakan antara destinasi pelancongan utama yang terkenal di peringkat antarabangsa.
Katanya, berdasarkan perancangan terdahulu, rumah-rumah atas air akan disusun semula dan penduduk dipindahkan ke kawasan baharu seluas kira-kira 290 ekar yang telah dikeluarkan daripada status Hutan Simpan.
“Kawasan tersebut dikhususkan untuk penempatan semula penduduk dari Kampung Air Simunul dan Kampung Bangau-Bangau.
“Selain itu, cadangan pemindahan ke kawasan Tinagayan Laut juga pernah dikemukakan sebelum ini sebagai pelan jangka panjang,” katanya.
Abd Hajan berkata langkah penempatan semula itu penting bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan yang lebih selesa, selamat dan teratur, selaras dengan agenda pembangunan negeri.
“Melalui kerajaan hari ini yang sedang rancak memacu pembangunan, saya berharap masyarakat Semporna dapat memahami situasi ini dan bersabar demi masa depan bersama.
“Langkah ini penting supaya rakyat dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa dan teratur, selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan komited meneruskan agenda dan perancangan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat serta memastikan masa depan Semporna terus berkembang sebagai daerah pelancongan dan ekonomi yang mampan.



