HomeSukanGusti lengan mampu bentuk belia berdaya saing, bina komuniti sihat – Devon...

Gusti lengan mampu bentuk belia berdaya saing, bina komuniti sihat – Devon Larratt

Read Time:3 Minute, 10 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Legenda gusti lengan dunia, Devon Larratt percaya golongan belia memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan sukan itu, sekali gus menyeru lebih ramai anak muda Malaysia khususnya di Sabah untuk menjadikan gusti lengan sebagai platform membina disiplin, kekuatan mental serta hubungan komuniti yang positif.

Bekas anggota tentera Kanada yang masih aktif bersaing di peringkat tertinggi dunia pada usia 51 tahun itu berkata, perkembangan pesat gusti lengan di seluruh dunia menunjukkan sukan tersebut mempunyai potensi besar untuk menarik minat generasi muda.

Menurutnya, penglibatan belia dalam sukan itu bukan sekadar melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah mampu membentuk individu yang lebih berkeyakinan, sihat dan berdaya tahan.

“Saya melihat semakin ramai golongan muda menyertai gusti lengan dan pertumbuhannya sangat pesat. Lebih ramai belia perlu diberikan peluang untuk mengenali sukan ini melalui sekolah, kelab dan pertandingan yang dianjurkan secara konsisten.

“Semakin ramai anak muda terlibat, semakin kuat komuniti yang dapat dibina. Sukan ini bukan sahaja mengajar teknik dan kekuatan fizikal, tetapi juga nilai persahabatan, hormat dan semangat kekeluargaan,” katanya ketika ditemui Sabah Media semasa Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa East vs West di Palm Square, Center Point, pada Sabtu.

Devon ditemani isterinya Jodi Larratt yang pertama kali berkunjung ke negeri ini turut memuji sambutan hangat masyarakat Sabah serta semangat yang ditunjukkan atlet gusti lengan tempatan.

Beliau berkata, pembangunan sukan itu perlu bermula di peringkat akar umbi dengan mewujudkan lebih banyak kelab, pusat latihan dan program pembangunan belia yang tersusun.

“Perkara paling penting ialah menjaga komuniti dalam kelab. Wujudkan lebih banyak aktiviti, lebih banyak pertandingan dan galakkan penyertaan pelajar sekolah.

“Apabila lebih ramai anak muda berkumpul dan berlatih bersama, mereka bukan sahaja menjadi atlet yang lebih baik tetapi juga membina jaringan persahabatan yang berkekalan,” katanya.

Mengimbas perjalanan kariernya, Devon berkata beliau mula berjinak-jinak dengan gusti lengan sejak berusia empat tahun sebelum mula bertanding secara kompetitif pada usia 18 tahun.

Katanya, salah satu rahsia kekal relevan dalam sukan itu selama lebih tiga dekad ialah sentiasa menikmati proses pembelajaran dan penambahbaikan diri.

“Saya sentiasa percaya bahawa saya masih boleh menjadi lebih baik. Itulah motivasi terbesar saya sehingga hari ini.

“Kepada anak-anak muda, nikmatilah sukan ini dan jangan terlalu tergesa-gesa mengejar kejayaan. Tetapkan matlamat, bersabar dan lihat gusti lengan sebagai sebahagian daripada kehidupan yang boleh membawa banyak manfaat,” katanya.

Dalam pada itu, Devon turut mengakui beliau masih menyimpan hasrat untuk sekali lagi berdepan juara dunia dari Georgia, Levan Saginashvili, yang dianggap ramai sebagai atlet gusti lengan terbaik dunia ketika ini.

Menurutnya, Levan bukan sahaja pencabar paling sukar pernah dihadapinya, malah menjadi sumber inspirasi yang mendorong beliau untuk terus meningkatkan prestasi walaupun sudah berada di penghujung karier.

“Levan telah mengubah hidup saya. Dia menaikkan standard sukan ini ke tahap yang lebih tinggi. Saya sentiasa menghormatinya dan akan terus mengejar tahap yang telah ditetapkannya.

“Jika suatu hari nanti saya berjaya menewaskannya, ia pasti menjadi detik yang cukup bermakna kerana dia banyak memberi inspirasi kepada perjalanan karier saya,” katanya.

Menurut beliau, persaingan sihat antara atlet elit dunia seperti dirinya dan Levan juga membuktikan bahawa gusti lengan bukan sekadar pertandingan kekuatan, tetapi medan untuk terus memperbaiki diri dan mencabar had kemampuan masing-masing.

“Sukan membina komuniti. Ia menyatukan orang ramai dalam suasana aman dan sihat. Melalui gusti lengan, seseorang boleh memperoleh kekuatan, kesihatan, persahabatan dan rasa kekitaan.

“Jika sukan ini dapat memberikan semua perkara itu kepada golongan muda, maka mereka berada di landasan yang betul untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Devon turut optimis bahawa gusti lengan akan terus berkembang dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan penyertaan belia menjadi pemacu utama pertumbuhan sukan tersebut di seluruh dunia.

Justeru, beliau percaya lebih banyak negara akan memberi perhatian kepada pembangunan gusti lengan di peringkat sekolah dan komuniti, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda untuk mengangkat sukan itu ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Sabah angkat gusti lengan tradisi ke pentas antarabangsa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular