HomePendapat'Job Hopping' - Tawaran Gaji Rendah Atau Perilaku ?

‘Job Hopping’ – Tawaran Gaji Rendah Atau Perilaku ?

Read Time:5 Minute, 27 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Ramai graduan muda berdepan dengan pekerjaan awal yang menyediakan gaji yang rendah dan prospek kerjaya yang terhad. Berdepan dengan realiti ini, ramai terlibat dengan job hopping bagi memperolehi pekerjaan dan pendapatan yang lebih sesuai serta setimpal.

Pada penghujung bulan Mei 2026 yang lepas, media The Edge telah menerbitkan artikel bertajuk “Job hopping among Malaysian Gen Z driven by poor job quality, not work ethic — PNB Research Institute”. Ini berdasarkan laporan “Job Hopping And Early Career Instability” yang disediakan oleh PNB Research Institute (PNBRI).

Secara amnya, laporan PNBRI tersebut meneliti aspek menukar kerja atau job hopping di kalangan tenaga kerja muda negara.

Berdasarkan laporan PNBRI berkenaan, job hopping di kalangan tenaga kerja muda negara berlaku bukannya kerana etika kerja yang sudah berubah. Sebaliknya, disebabkan oleh faktor-faktor seperti kualiti pekerjaan yang rendah, gaji yang rendah, perkembangan kerjaya yang terhad, serta pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan.

Ramai graduan dilaporkan memulakan kerjaya dengan pekerjaan yang bergaji rendah, walaupun dengan kelayakan yang dimiliki. Oleh kerana itu, job hopping sebenarnya berlaku atas dasar keperluan untuk menikmati pendapatan dan peluang yang lebih baik.

Sering kali, tenaga kerja muda dilabel sebagai tidak setia dan tidak sabar. Tetapi tindakan job hopping adalah satu tindakan yang rasional dan munasabah, dan bukannya melibatkan isu perilaku tenaga kerja muda.

Di samping itu, kini dengan adanya platfom digital, salary transparency tools serta jaringan profesional telah memudahkan tenaga kerja mencari pekerjaan, dan seterusnya menukar pekerjaan dengan pantas.

Pada Suku Ketiga Tahun 2025, 74.3% tenaga kerja muda berumur 15 – 24 tahun berada di dalam pekerjaan di bawah kelayakan yang dimiliki, iaitu underemployment. Peratusan ini melebihi dua kali ganda kadar purata underemployment nasional (35.5%). Manakala, bagi tenaga kerja berumur 25 – 34 tahun, kadar underemployment adalah 41%.

Situasi ini menggambarkan isu struktur jangka panjang, di mana pewujudan pekerjaan mahir kurang daripada jumlah graduan yang memasuki pasaran kerja.

Turut membimbangkan, analisa data 25 tahun oleh PNBRI menunjukkan gaji permulaan atau real entry-level wages di dalam sektor swasta telah merekodkan penurunan. Sepanjang tempoh masa 25 tahun (1997 – 2022), gaji permulaan bagi pemegang ijazah telah menurun sebanyak 10%, dan penurunan 28% bagi pemegang ijazah Sarjana (Master’s).

Penurunan ini sememangnya memeranjatkan. Bagaimana situasi ini boleh berlaku, sedangkan Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Dasar Gaji Minimum bagi melonjakkan gaji pekerja secara keseluruhan. Lebih-lebih lagi, sejak diperkenalkan pada tahun 2012, Kadar Gaji Minimum negara telah dinaikkan beberapa kali, meningkat hampir 90% daripada RM 900 kepada RM 1,700 sebulan.

Maka, selari dengan peningkatan Kadar Gaji Minimum, gaji pekerja di semua peringkat sepatutnya turut meningkat, dan bukannya menurun.

Tambahan lagi, laporan PNBRI berkenaan menunjukkan majoriti graduan memperolehi pendapatan yang rendah. Sekitar 66.3% pemegang Ijazah dan 93.1% pemegang Diploma memperolehi pendapatan di bawah RM 3,000. Manakala, 30.6% pemegang Ijazah dan 66.3% pemegang Diploma pula memperolehi pendapatan di bawah RM 2,000.

Ini bermakna begitu ramai graduan Ijazah dan Diploma memperolehi pendapatan yang tinggi sedikit sahaja daripada Kadar Gaji Minimum negara terkini RM 1,700 sebulan.

Malah, lebih rendah daripada Kadar Gaji Kehidupan Wajar atau Living Wage RM 3,100 sebulan, sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia di dalam Panduan Perbelanjaan Belanjawanku 2024/2025. Kadar Gaji Kehidupan Wajar melibatkan anggaran perbelanjaan minimum bulanan bagi kehidupan yang selesa dan berkualiti.

 

Sumber: The Edge: Job hopping among Malaysian Gen Z driven by poor job quality,
not work ethic — PNB Research Institute @ 28 Mei 2026

Laporan PNBRI berkenaan turut merujuk kepada laporan “The Growing Trend of Job Hopping In Malaysia: Why More People Are Switching Jobs In 2025”, yang diterbitkan oleh Randstad pada bulan Jun 2025.

Randstad ialah sebuah firma tenaga kerja terkemuka global. Laporan ini menunjukkan, sepanjang tempoh masa 5 tahun (2021 – 2025), peratusan tenaga kerja yang berhasrat untuk menukar pekerjaan telah merekodkan trend peningkatan yang ketara, daripada 23.0% (2021) kepada 35.2% (2025).

Manakala, peratusan yang telah menukar pekerjaan telah meningkat daripada 10.6% kepada 18.0%.

Pada masa sama, laporan berkenaan menunjukkan tiga sebab teratas penukaran kerja ialah: keseimbangan work-life, kurang peluang pembangunan kerjaya, gaji yang tidak menepati cabaran kos sara hidup.

Sementara itu, data terkini menunjukkan underemployment masih satu isu yang besar. Berdasarkan Laporan Sorotan Pasaran Buruh Suku Tahun Pertama 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada penghujung bulan Mei 2026, Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran atau Underemployment Rate berada pada tahap 35.2%, melibatkan 1.93 juta pekerja.

Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran ini merangkumi penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam di kategori kerja Separuh Mahir dan Berkemahiran Rendah. Ini bermakna hampir 2 juta pekerja negara terperangkap di dalam pekerjaan yang tidak setimpal dengan pendidikan dan kemahiran yang dimiliki, dan seterusnya memperolehi pendapatan yang rendah.

Sepanjang tempoh masa lebih 3 tahun (2023 – 2026), Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran ini telah merekodkan trend penurunan yang konsisten. Walaupun begitu, jumlah pekerja terbabit masih agak sama, tanpa perubahan ketara.

Menariknya, situasi Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran yang tinggi ini berlaku tatkala negara merekodkan Kadar Pengangguran yang rendah. Sepanjang tempoh masa lebih 3 tahun (2023 – 2026) tersebut, Kadar Pengangguran negara stabil dan kekal di bawah 4%. Malah, pada Suku Tahun Pertama 2026, Kadar Pengangguran negara telah menurun kepada 2.9%.

Secara umumnya, Kadar Pengangguran di bawah 4% diterima pakai di seluruh dunia sebagai guna tenaga penuh atau full employment. Oleh yang demikian, pekerja yang mahu bekerja boleh mendapat pekerjaan di dalam sektor ekonomi negara, yang terus berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Berdasarkan laporan Malaysian Investment Development Authority (MIDA), banyak peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan menerusi pelaburan yang diterima. Sepanjang tempoh masa 6 tahun (2020 – 2025), jumlah pelaburan diluluskan telah meningkat secara konsisten, daripada RM 164 bilion kepada RM 426.7 bilion. Seiringan, pewujudan pekerjaan juga telah meningkat dengan ketara, berjumlah lebih 930,000.

TahunJumlah Pelaburan DiLuluskan (RM)Pelaburan Domestik (RM)Pelaburan Asing (RM)Jumlah ProjekPewujudan Pekerjaan
2025426.7 bilion 219.6 bilion207.1 bilion8,390244,902 
2024378.5 bilion208.1 bilion170.4 bilion6,700207,241
2023329.5 bilion141.1 bilion188.4 bilion5,101127,332
2022264.6 bilion101.3 bilion163.3 bilion4,454140,370
2021306.5 bilion97.9 bilion208.6 bilion4,564105,012
2020164 bilion99.8 bilion64.2 bilion4,599114,673

Tetapi, pelaburan berkenaan tidak mewujudkan pekerjaan Mahir yang dapat menampung jumlah graduan yang menyertai pasaran kerja setiap tahun. Ini menyebabkan ramai graduan terpaksa dan terperangkap di dalam underemployment. Akhirnya, ini mencetus trend job hopping di kalangan tenaga kerja muda negara.

Situasi ini menjurus kepada isu struktur pasaran kerja, di mana penyelesaiannya sukar dicapai serta boleh mengambil masa yang lama. Justeru itu, trend job hopping di kalangan tenaga kerja muda negara akan berpanjangan.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Angka Pengangguran Sabah – Naik Atau Turun?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular