TAMPARULI: Penguasaan Bahasa Inggeris dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi masa kini bukan lagi sekadar satu kelebihan, sebaliknya menjadi kemahiran penting yang mampu membuka lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan, kerjaya, perniagaan dan komunikasi.
Menyedari kepentingan itu, lebih 40 penduduk Kampung Molisau, Tenghilan mengambil inisiatif memanfaatkan masa lapang dengan menyertai program ‘English For Employability’ yang berlangsung di Dewan Kampung Molisau bermula minggu lalu.
Program selama lima minggu itu bertujuan memberi pendedahan asas Bahasa Inggeris kepada peserta, selain meningkatkan keyakinan mereka dalam berkomunikasi serta menyediakan kemahiran yang relevan dengan keperluan dunia pekerjaan.

Lebih membanggakan, program itu membuktikan masyarakat setempat semakin menyedari kepentingan pembelajaran sepanjang hayat apabila sanggup meluangkan masa pada waktu malam dan hujung minggu untuk menambah ilmu, berbanding hanya menghabiskan masa dengan aktiviti kurang berfaedah.
Tenaga pengajar program, Caroline Duliat, yang juga anak jati Kampung Molisau, berkata beliau berasa bangga melihat komitmen peserta yang hadir secara konsisten bagi mengikuti setiap sesi pembelajaran.
Menurutnya, sambutan menggalakkan daripada masyarakat menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan Bahasa Inggeris semakin meningkat, terutama dalam menghadapi cabaran dunia moden.
“Bahasa Inggeris bukan sahaja membantu seseorang memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik, malah mampu meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat lebih luas,” katanya.

Beliau turut menghargai kerjasama pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) serta AMC University College dalam menjayakan program tersebut.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong usaha ini. Walaupun perlu berulang-alik dari Kota Belud, saya berasa berbaloi apabila melihat kesungguhan peserta untuk belajar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Molisau, Elexter Duari berkata, program berkenaan wajar diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada komuniti setempat khususnya golongan muda.
Beliau berkata, pengisian masa lapang dengan aktiviti berbentuk pendidikan dapat membantu melahirkan masyarakat yang lebih berilmu, berdisiplin dan yakin menghadapi masa hadapan.
“Daripada anak-anak kita menghabiskan terlalu banyak masa dengan telefon bimbit atau permainan video, lebih baik mereka menyertai program seperti ini yang mampu meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran,” katanya.
Bagi peserta, Nancy Julian, 53, berkata penyertaan dalam kelas tersebut membantu beliau mengatasi rasa takut untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris.
“Sebelum ini saya malu dan takut untuk bercakap kerana bimbang melakukan kesalahan sebutan. Tetapi selepas mengikuti kelas ini, saya semakin yakin untuk mencuba dan berkomunikasi,” katanya.
Sementara itu, pelajar berusia 15 tahun, Sadiona Rudy, berkata beliau mengambil peluang menyertai program itu walaupun belum mencapai usia 18 tahun kerana minatnya terhadap Bahasa Inggeris.
Program tersebut turut menarik penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah yang sanggup meluangkan masa pada waktu malam bagi meningkatkan penguasaan bahasa.
Perkara itu membuktikan bahawa pembelajaran tidak mengenal usia kerana setiap individu mempunyai peluang untuk terus menimba ilmu dan memperbaiki diri.
Program English For Employability di Kampung Molisau bukan sahaja meningkatkan kemahiran bahasa peserta, malah menjadi contoh bagaimana komuniti mampu bergerak secara positif apabila diberi ruang dan peluang untuk berkembang.
Usaha sedemikian diharap dapat diperluaskan ke kawasan lain bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing, berpengetahuan dan bersedia menghadapi tuntutan dunia pekerjaan masa kini.



