HomeUtamaSabah catat 1,493 kedai berdaftar SARA, liputan diperluas hingga pedalaman

Sabah catat 1,493 kedai berdaftar SARA, liputan diperluas hingga pedalaman

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 1,493 kedai di seluruh Sabah kini berdaftar sebagai lokasi penebusan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekali gus memperluaskan akses bantuan kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peningkatan jumlah kedai yang menyertai program itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan penerima yang layak dapat menikmati manfaat SARA dengan lebih mudah dan dekat.

Beliau berkata, penggunaan MyKad sebagai medium penebusan dipilih kerana ia lebih praktikal memandangkan setiap warganegara Malaysia yang layak mempunyai dokumen berkenaan.

“Kalau mereka layak menerima bantuan SARA, mereka boleh datang ke kedai dan terus menebus barangan yang disediakan menggunakan MyKad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan program SARA di Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.

Amir Hamzah berkata, usaha memperluaskan rangkaian kedai SARA bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar, malah turut melibatkan kawasan kampung dan pedalaman bagi mengurangkan jarak yang perlu dilalui penerima untuk mendapatkan bantuan.

“Di Sabah, kita telah melihat peningkatan kedai yang berdaftar di bawah SARA sehingga kini mencapai 1,493 kedai di seluruh negeri. Ia bukan hanya di bandar besar tetapi juga masuk ke kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan liputan program berkenaan melalui kerjasama bersama pihak berkaitan termasuk penyedia perkhidmatan dan agensi pelaksana.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan serta memenuhi konsep bantuan bersasar.

Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan SARA turut memberi manfaat kepada usahawan tempatan apabila produk mereka diberi peluang untuk dipasarkan melalui kedai-kedai yang menyertai program tersebut.

Menurutnya, sehingga kini lebih 150,000 jenis barangan telah tersedia dalam sistem SARA di seluruh negara, sekali gus memberi pilihan lebih luas kepada penerima.

“Program ini bukan sahaja memberi bantuan kepada rakyat, tetapi turut membantu menggerakkan ekonomi tempatan dan memberi peluang kepada usahawan meningkatkan jualan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperluaskan penyertaan kedai-kedai kecil dalam program SARA bagi memastikan liputan bantuan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Tambah beliau, usaha berkenaan selari dengan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap bantuan disalurkan secara berkesan, mudah dicapai dan memberi impak kepada rakyat.

“Yang penting adalah bantuan itu sampai kepada mereka yang memenuhi syarat dan mereka boleh mendapatkannya dengan lebih mudah,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga dipanggil bantu siasatan kes murid didakwa dibuli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular