SOOK: Yayasan PETRONAS terus memperkukuh komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti menerusi penanaman 1,000 pokok sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di sini baru-baru ini.
Program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu menghimpunkan agensi kerajaan, komuniti setempat serta pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh pemuliharaan hutan dan kelestarian ekosistem.
Pengurus Besar PETRONAS Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab berkata, penyertaan Yayasan PETRONAS menerusi inisiatif One Million Trees membuktikan komitmen berterusan organisasi itu dalam memperkukuh penjagaan alam sekitar melalui usaha kolaboratif yang memberi manfaat kepada komuniti dan alam semula jadi.
“Menerusi program One Million Trees, Yayasan PETRONAS membuktikan komitmennya dalam memperkukuh penjagaan alam sekitar melalui usaha kolaboratif yang memberi manfaat kepada komuniti dan alam semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumbangan 1,000 pokok itu merupakan sebahagian daripada inisiatif One Million Trees Yayasan PETRONAS, iaitu usaha peringkat nasional yang menyokong pemulihan hutan serta memperkukuh daya tahan komuniti melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi di seluruh negara.
Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada pemuliharaan ekosistem daratan dan paya bakau, di samping mengukuhkan daya tahan komuniti, selaras dengan tonggak alam sekitar Yayasan PETRONAS.
Majlis penanaman pokok simbolik diketuai oleh Ketua Konservator Hutan, Datuk Zulkifli Suara, dan disaksikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup di Dataran Sook.
Sambutan yang berlangsung selama tiga hari itu disempurnakan oleh Hajiji Noor.



