HomeUtamaPendidikan pelaburan penting bangunkan modal insan berkualiti di Sabah

Pendidikan pelaburan penting bangunkan modal insan berkualiti di Sabah

Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Pendidikan merupakan pelaburan penting dalam usaha membangunkan modal insan berkualiti yang mampu memacu kemajuan Sabah pada masa hadapan.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab berkata, pembangunan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada kemudahan fizikal seperti jalan raya, jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang, sebaliknya memerlukan modal insan berilmu, berkemahiran serta berdaya saing untuk menerajui pelbagai sektor ekonomi.

Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan negeri kerana usaha memperkukuh sistem persekolahan akan meningkatkan daya saing Sabah, sekali gus membantu merealisasikan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.

“Apabila kita melabur dalam pendidikan, kita melabur dalam masa depan Sabah. Usaha memperkukuh sekolah akan memperkukuh daya saing negeri serta membangunkan potensi murid untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Jasamu Dikenang 2026 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini, pada Rabu.

Mohd Razali berkata, Sabah kini sedang menikmati perkembangan positif dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, minyak dan gas, ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI), namun peluang yang tersedia memerlukan tenaga kerja berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.

Katanya, sistem pendidikan juga perlu terus diperkasakan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah, berinovasi serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sektor pendidikan Sabah turut mencatat pencapaian membanggakan apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini amat signifikan kerana buat pertama kali Sabah berjaya merekodkan GPN di bawah paras 5.00, sekali gus membuktikan usaha berterusan seluruh warga pendidikan negeri mula membuahkan hasil,” katanya.

Beliau turut memaklumkan prestasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menunjukkan peningkatan apabila peratus calon yang memperoleh lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat daripada 98.81 peratus kepada 98.87 peratus.

Sehubungan itu, Mohd Razali menggesa penerima APC agar terus menjadi teladan dan ejen perubahan dalam organisasi masing-masing dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, idea serta inovasi bagi memperkukuh sistem pendidikan negeri.

“Masyarakat melihat penerima APC sebagai contoh teladan, manakala organisasi pula mengharapkan mereka menjadi pemangkin kepada budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 354 warga pendidikan dari seluruh Sabah menerima APC 2025 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan prestasi, integriti dan komitmen dalam melaksanakan tugas, manakala 15 pesara turut diraikan menerusi segmen Jasamu Dikenang.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan GRS komited bela basib rakyat, tidak abaikan keperluan penduduk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular