HomeUtamaPSPN, RTKP 2026-2030 Jadi Panduan Perkukuh Kesiapsiagaan Pertahanan Negara - Khaled Nordin

PSPN, RTKP 2026-2030 Jadi Panduan Perkukuh Kesiapsiagaan Pertahanan Negara – Khaled Nordin

Read Time:2 Minute, 17 Second

KUALA LUMPUR, Kementerian Pertahanan melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 sebagai pelan pelaksanaan menyeluruh bagi menterjemahkan aspirasi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kedua-dua dokumen itu bukan sekadar menetapkan hala tuju strategik, malah memperincikan langkah pelaksanaan bagi memastikan setiap objektif pertahanan negara dapat dicapai secara berkesan.

Beliau berkata PSPN dibangunkan sebagai kesinambungan kepada Kertas Putih Pertahanan dan Kajian Separuh Penggal KPP yang dilancarkan tahun lalu.

“Kertas Putih Pertahanan menggariskan perkara-perkara besar berkaitan pertahanan negara. Pelan Strategik Pertahanan Negara pula menerjemahkan bagaimana perkara-perkara itu akan dilaksanakan, manakala RTKP memberi tumpuan kepada aspek kapasiti seperti pemodenan, kewangan, sumber manusia dan keupayaan pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030, DI hotel Royal Chulan disini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata kedua-dua pelan itu dibangunkan berasaskan tujuh teras strategik yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, selain menetapkan ukuran prestasi yang jelas bagi memastikan pelaksanaannya dapat dinilai secara objektif.

Menurut beliau, kementerian mahu memastikan setiap strategi bukan sekadar dinyatakan secara dasar, sebaliknya disokong dengan tindakan yang boleh diukur termasuk pembangunan modal insan, nilai kepimpinan, disiplin, integriti serta semangat berpasukan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita mahu rakyat sendiri dapat menilai sama ada apa yang kita rancang benar-benar dilaksanakan kerana soal pertahanan bukan perkara yang boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau turut menegaskan pertahanan negara bukan hanya tanggungjawab ATM semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan seluruh rakyat melalui pembinaan semangat patriotisme dan ketahanan nasional.

Katanya, ancaman keselamatan masa kini semakin dipengaruhi peperangan hibrid termasuk cognitive warfare yang mensasarkan pemikiran dan perpaduan rakyat bagi melemahkan sesebuah negara tanpa perlu menggunakan kekuatan ketenteraan secara langsung.

“Rakyat perlu memahami bahawa mempertahankan negara bukan sekadar mengangkat senjata. Mereka perlu mempunyai semangat patriotisme, cintakan negara dan memiliki daya tahan yang tinggi supaya tidak mudah dipengaruhi atau menyerah kepada ancaman luar,” katanya.

Mengulas mengenai perolehan aset pertahanan, Mohamed Khaled mengesahkan kerajaan meneruskan pembelian aset yang telah dipersetujui selaras dengan keperluan memperkukuh keupayaan pertahanan negara.

Beliau berkata setiap perolehan dibuat berdasarkan keutamaan operasi serta pembangunan keupayaan jangka panjang, termasuk usaha meningkatkan pemindahan teknologi dan membangunkan industri pertahanan tempatan.

Menurutnya, kerajaan juga meneliti peluang menghasilkan sistem persenjataan buatan tempatan apabila negara mempunyai keupayaan yang mencukupi pada masa hadapan.

Menyentuh peruntukan pertahanan, beliau berkata kerajaan perlu mengimbangi keperluan semua sektor pembangunan negara dan tidak boleh melihat keamanan semata-mata melalui peningkatan kekuatan ketenteraan.

Sebaliknya, katanya Malaysia kekal berpegang kepada pendekatan diplomasi, dialog dan kerjasama serantau sebagai asas utama dalam mengekalkan keamanan.

“Kita di ASEAN dan Malaysia percaya keamanan dicapai melalui dialog, pertemuan, perbincangan serta diplomasi, bukan semata-mata melalui kekuatan ketenteraan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

95 peratus pengguna diesel guna kurang 300 liter sebulan – Amir...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular