HomeUtamaSabah MotoDay di UMS tidak wajar dipolitikkan - Skuad Antidadah Sabah

Sabah MotoDay di UMS tidak wajar dipolitikkan – Skuad Antidadah Sabah

Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Skuad Antidadah Sabah menyifatkan bantahan terhadap penganjuran program Sabah MotoDay di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai tidak berasas dan boleh menimbulkan persepsi bahawa kemudahan universiti tidak boleh dimanfaatkan oleh masyarakat luar.

Ketua Penerangannya, Osman Johari berkata, penganjuran Sabah MotoDay di UMS bukan perkara baharu kerana program itu pernah dilaksanakan sebelum ini tanpa sebarang insiden yang menjejaskan kemudahan universiti atau warga kampus.

Menurutnya, program berkenaan dijadualkan berlangsung ketika cuti semester dan hanya melibatkan penggunaan Padang Kawad UMS tanpa penyertaan langsung pelajar universiti terbabit.

“Justeru, dakwaan bahawa program ini akan mengganggu kehidupan kampus adalah tidak berasas dan keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Sabah MotoDay bukan sekadar perhimpunan permotoran, sebaliknya platform yang menghimpunkan golongan belia, peminat sukan permotoran, usahawan kecil dan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana yang terkawal serta tersusun.

Katanya, program itu turut membawa mesej antidadah kepada generasi muda selain berperanan sebagai medium membina hubungan sosial, memupuk disiplin dalam komuniti permotoran dan mengetengahkan potensi anak muda Sabah.

Osman berkata, amat dikesali apabila terdapat pihak yang mendakwa membawa suara rakyat, namun pada masa sama menolak ruang kepada golongan belia dan masyarakat untuk berhimpun secara aman dalam program yang sah serta mendapat kelulusan pihak berkaitan.

Menurutnya, suara mahasiswa seharusnya bersifat matang, rasional dan membina serta berlandaskan fakta, bukannya dipengaruhi emosi, sentimen atau agenda tertentu.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk pimpinan mahasiswa agar tidak menjadikan nama mahasiswa sebagai alasan untuk membantah program kemasyarakatan tanpa asas yang kukuh.

“Kampus bukan sahaja tempat menuntut ilmu, tetapi juga ruang membina masyarakat, memperkukuh perpaduan dan mendekatkan institusi pendidikan dengan rakyat.

“Sabah MotoDay bukan ancaman kepada kampus. Sebaliknya, ia memberi peluang untuk memperlihatkan bahawa UMS mampu menjadi medan pertemuan antara institusi pendidikan, komuniti, belia dan masyarakat secara harmoni,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa golongan belia dalam komuniti permotoran juga merupakan sebahagian daripada rakyat Sabah yang berhak diberikan ruang untuk menyertai program secara tertib, aman dan bertanggungjawab.

“Suara rakyat tidak wajar diketepikan atas nama mahasiswa. Selagi program dilaksanakan mengikut peraturan dan dengan penuh tanggungjawab, semua pihak seharusnya diberi peluang yang adil untuk mengambil bahagian,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

MPP UMS bantah Sabah Motor Day diadakan dalam kampus

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular