HomeUtama'Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati' dipilih tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026

‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ dipilih tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026

Read Time:1 Minute, 21 Second

PUTRAJAYA: Tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ dipilih sebagai tema rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina sebuah negara yang maju, inklusif dan sejahtera berteraskan gagasan Malaysia MADANI.

Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Fahmi Fadzil, berkata tema berkenaan menegaskan bahawa kesejahteraan negara perlu dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, tema itu berpaksikan nilai keadilan, kemanusiaan dan kebajikan, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ mencerminkan aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati hasil pembangunan negara secara saksama.

“Ia juga menggambarkan komitmen berterusan dalam membina sebuah Malaysia yang makmur, inklusif dan bersatu,” katanya ketika mengumumkan logo dan tema rasmi HKHM 2026 di sini, pada Jumaat

Menurut Fahmi, Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 akan dimulakan dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 yang dijadual berlangsung pada 18 Julai di Perak.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan pada 31 Ogos di Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia akan berlangsung pada 16 September di Sarawak.

Sepanjang Bulan Kebangsaan, pelbagai program dan aktiviti akan dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme, kebersamaan serta cintakan negara.

Antara program yang dirancang ialah Kembara Bahasa HKHM, Quran Hour, 1Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG), Ambang Merdeka, Kira Detik Merdeka, RIUH Merdeka serta Majlis Memperingati Negarawan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan jadual program, promosi dan pelbagai aktiviti sempena HKHM 2026 menerusi Portal Rasmi Merdeka360.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

Cross-Examination Focuses On Analysis Behind Alleged Loss of 41 Gold Dore...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular