KUNAK: Peniaga di sekitar Kunak didapati mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan baru-baru ini.
KPDN Sabah berkata, operasi yang dilaksanakan oleh KPDN Cawangan Semporna itu melibatkan pemeriksaan di pasar raya, kedai runcit dan stesen minyak bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada pengisian petrol atau diesel ke dalam gelen tanpa permit, manakala bekalan diesel adalah mencukupi dan tiada aktiviti penjualan tanpa lesen dikesan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Selain itu, pemeriksaan ke atas premis perniagaan mendapati semua peniaga mematuhi peraturan, termasuk mempamerkan tanda harga, menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan serta mematuhi harga maksimum minyak masak yang ditetapkan.
Bekalan minyak masak paket juga didapati mencukupi dan mudah diperoleh pengguna.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan boleh menghubungi KPDN menerusi saluran rasmi kementerian.



