Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kira-kira 100 pesakit di Hospital Tawau menerima bakul makanan menerusi Program Santunan Ziarah Kasih Hijrah yang dianjurkan Pusat Zakat Tawau, sekali gus membawa kegembiraan dan suntikan semangat kepada mereka yang sedang menjalani rawatan.
Sumbangan tersebut diagihkan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta isteri, Datin Wahida Mardiana Norsalim.
Ketika ditemui selepas itu, Nizam berkata, program berkenaan bukan sahaja diharap dapat memberi keceriaan kepada pesakit, tetapi juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Menurut beliau, sepanjang sesi ziarah ke wad-wad hospital, rata-rata pesakit yang ditemui menunjukkan reaksi positif dan ceria selepas menerima kunjungan serta sumbangan berkenaan.
“Alhamdulillah, berdasarkan reaksi pesakit yang kita santuni, mereka kelihatan gembira dan lebih bersemangat. Program seperti ini sedikit sebanyak dapat memberi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha mendapatkan rawatan sehingga sembuh,” katanya selepas menghadiri Program Santunan Ziarah Kasih Hijrah di Hospital Tawau, pada Sabtu.
Beliau berharap, lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat tampil menganjurkan program kebajikan seumpama itu bagi memberi sokongan moral kepada pesakit serta menghargai pengorbanan warga kerja hospital.
Dalam pada itu, Nizam turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kakitangan Hospital Tawau yang disifatkan sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Mengulas mengenai pembangunan fasiliti kesihatan, beliau berkata kerajaan telah menyediakan bangunan hospital baharu yang dijangka mampu menambah kapasiti dan keselesaan pesakit di Hospital Tawau.
Bagaimanapun, beliau berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus menambah baik kemudahan dan kepakaran di hospital berkenaan supaya ia dapat berfungsi sebagai pusat rawatan lengkap bagi penduduk di Pantai Timur Sabah.
“Kita berharap lebih banyak kemudahan dan kepakaran dapat diwujudkan di Hospital Tawau agar rakyat di Pantai Timur tidak perlu lagi mendapatkan rawatan tertentu di Kota Kinabalu atau Semenanjung Malaysia,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penurunan harga harga diesel, Nizam berkata sebarang keputusan kerajaan perlu mengambil kira faktor geografi dan kos logistik yang berbeza di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, walaupun ia dipengaruhi situasi pasaran minyak global, kerajaan diharap mempertimbangkan keunikan keadaan di Sabah supaya dasar yang dilaksanakan tidak membebankan rakyat.
“Kita berharap setiap keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak kerana keadaan geografi kita jauh berbeza. Apa juga dasar yang dilaksanakan demi kepentingan negara hendaklah pada masa sama tidak terlalu membebankan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.



