HomeUtamaPengusaha kafe F&B dikompaun gagal pamer tanda harga menu

Pengusaha kafe F&B dikompaun gagal pamer tanda harga menu

Read Time:1 Minute, 6 Second

LABUAN: Seorang pengusaha kafe Food & Beverage (F&B) di Labuan dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan selepas didapati gagal mematuhi peraturan penandaan harga.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, berkata tindakan itu diambil hasil maklumat dan aduan yang disalurkan pengguna kepada kementerian.

Beliau berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada Jumaat malam.

“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi pakej menu yang ditawarkan kepada pelanggan, sekali gus boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan hak mereka untuk memperoleh maklumat harga yang jelas sebelum membuat pembelian,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, tindakan kompaun serta-merta dikenakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Bagi kesalahan itu, Akta 723 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 bagi individu dan sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan, jika disabitkan kesalahan.

Junaidah turut merakamkan penghargaan kepada pengguna yang tampil menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah seliaan KPDN.

Katanya, kerjasama orang ramai penting bagi memastikan hak pengguna terus dilindungi serta amalan perdagangan yang telus dan berintegriti dapat dikekalkan.

Beliau turut mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan berkaitan penandaan harga bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Jovita Ibin dinobat Zandi Tavanus 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular