Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang tukang kebun dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencederakan seorang lelaki.
Tertuduh, Alan Kok, 32, turut dikenakan denda RM1,000 atau penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas Alan mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun pada 17 Jun lalu, kira-kira jam 7.30 malam, di Taman Makmur Ria, Jalan Pulutan, Manggatal, dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 7.20 malam, mangsa sedang meraikan majlis hari jadi anaknya di kediaman apabila beberapa penunggang motosikal melalui kawasan itu sambil membunyikan ekzos dengan kuat.
Mangsa kemudian menegur tindakan kumpulan penunggang motosikal berkenaan.
Kira-kira sejam kemudian, kumpulan motosikal itu kembali ke lokasi secara beramai-ramai. Seorang daripada mereka menyerang mangsa menggunakan topi keledar sehingga terkena pada bahagian kepala, manakala beberapa lagi rakannya turut memukul mangsa dari pelbagai arah.
Kejadian itu menyebabkan suasana menjadi kecoh sebelum semua suspek melarikan diri dari tempat kejadian dan dikejar oleh mangsa bersama ahli keluarganya.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala yang dipercayai akibat dipukul menggunakan topi keledar.
Pegawai Pendakwa Alia Nuurlysa Adnan mengendalikan pendakwaan.



