PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang menangguhkan penyampaian keputusan rayuannya hari ini, sambil menegaskan beliau akan terus mendapatkan keadilan melalui saluran kehakiman.
Menurutnya, beliau meletakkan sepenuh keyakinan kepada institusi kehakiman sebagai benteng terakhir untuk menegakkan keadilan dan tidak pernah mengharapkan layanan istimewa sepanjang berdepan kes tersebut.
“Saya menghormati keputusan Yang Arif Hakim dan saya menghormati institusi kehakiman negara yang merupakan benteng terakhir bagi individu seperti saya.
“Saya ingin mendapatkan keadilan bukan melalui jalan pintas ataupun layanan istimewa, tetapi melalui perbicaraan yang berdasarkan fakta dan data di bawah institusi kehakiman itu sendiri,” katanya kepada pemberita di pekarangan Istana Kehakiman, hari ini.
Beliau mengakui penangguhan keputusan itu bukan sesuatu yang dijangkakan oleh pasukan pembelaannya kerana senario berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam perancangan bersama peguam.
Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata beliau memahami faktor kesihatan yang menjadi punca penangguhan dan memilih untuk akur serta menghormati keputusan mahkamah.
“Kes ini bukanlah kes yang baharu. Sudah enam tahun saya berjuang untuk mendapatkan keadilan, membersihkan nama, integriti dan maruah saya.
“Kalau perlu menunggu lagi dua minggu, saya akur dan patuh,” katanya.
Dalam pada itu Syed Saddiq turut diminta mengulas sama ada beliau akan turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sepanjang tempoh penangguhan itu, bagaimanapun beliau menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah untuk membersihkan nama melalui proses mahkamah.
“Saya berharap akan ada noktah kepada kes ini hari ini selepas enam tahun yang cukup mencabar. Namun saya perlu menunggu dua minggu lagi dan fokus saya bersama peguam serta keluarga adalah mendapatkan keadilan di mahkamah terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak memandang ringan kedudukan institusi kehakiman yang disifatkannya sebagai benteng terakhir rakyat Malaysia untuk mendapatkan keadilan.
“Sebab itu saya amat berhati-hati dengan setiap komen yang saya keluarkan kerana saya menghormati integriti dan maruah institusi kehakiman,” katanya.
Walaupun keputusan rayuan ditangguhkan, Syed Saddiq tetap optimis terhadap kesnya dan menegaskan keyakinan itu telah wujud sejak awal siasatan dijalankan.
“Saya yakin bukan kerana politik atau kerana saya fikir saya boleh melepaskan diri, tetapi kerana saya tahu hati nurani saya bersih. Lebih mudah untuk terus berjuang apabila kita tahu hati nurani kita bersih,” katanya.



