HomeUtamaKerajaan Sabah komited naik taraf infrastruktur sekolah vernakular

Kerajaan Sabah komited naik taraf infrastruktur sekolah vernakular

Read Time:2 Minute, 8 Second

SANDAKAN: Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkukuh pembangunan infrastruktur pendidikan, khususnya bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), selaras dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr James Lim, berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan sekolah vernakular menerusi peningkatan peruntukan, bantuan pendidikan serta penyediaan biasiswa.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai tetamu kehormat pada Program Santunan Ramah Mesra di SJK(C) Tai Tong, di sini, hari ini. Program itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Pengurusan Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Alumni sekolah berkenaan.

Menurut beliau, peruntukan am kepada badan agama bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah persendirian Cina dan SJKC telah ditingkatkan daripada RM70 juta pada 2025 kepada RM90 juta pada tahun ini sebagai bukti komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan.

Katanya, kerajaan negeri turut memperkenalkan Dana Biasiswa Khas Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berjumlah RM5 juta pada tahun lalu, selain mengiktiraf UEC bagi membolehkan pemegang sijil berkenaan memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

“Pada tahun ini, kerajaan negeri turut mengumumkan usaha memperluaskan Skim Biasiswa UEC, manakala jumlah keseluruhan peruntukan BKNS dinaikkan kepada RM101 juta yang turut memberi manfaat kepada pemegang UEC serta pelajar Cina yang mengikuti pengajian peringkat asasi, matrikulasi dan A-Level.

“YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa menegaskan bahawa tiada seorang pun anak Sabah harus tercicir daripada mendapat pendidikan. Menerusi agenda Sabah Maju Jaya, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk bantuan kepada sekolah, biasiswa serta sokongan khusus kepada sekolah vernakular,” katanya.

Dalam pada itu, Dr James berkata SJK(C) Tai Tong yang ditubuhkan pada 1933 dan kini mempunyai seramai 475 murid berdepan beberapa isu infrastruktur yang memerlukan perhatian segera, termasuk bangunan yang uzur, bumbung berkarat, sistem pendawaian elektrik yang usang serta kemudahan sekolah yang semakin merosot.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa segala keperluan dan isu yang dibangkitkan oleh pihak sekolah akan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri.

“Pendidikan merupakan pelaburan paling penting untuk masa depan Sabah. Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri komited untuk terus menaik taraf infrastruktur sekolah serta memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan pihak SJK(C) Tai Tong, PIBG dan komuniti bagi menangani keperluan mendesak demi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.

Program Santunan Ramah Mesra itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara komuniti sekolah dan kepimpinan negeri menerusi sesi lawatan tapak serta perbincangan bagi memperkukuh kerjasama dalam memajukan sektor pendidikan di Sandakan.

Majlis berkenaan dihadiri ahli Lembaga Pengurusan Sekolah, guru, ibu bapa, alumni serta wakil masyarakat setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

Komuniti setempat diminta jadi wira Internet selamat – Nizam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular