KOTA KINABALU : Kerjasama strategik antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Sabah.
Peluang itu adalah menerusi usaha memperkukuh pembangunan sektor perindustrian dan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi lawatan pembelajaran korporat strategik SEDCO ke KKIP yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua organisasi dalam memacu agenda perindustrian dan pembangunan ekonomi Sabah.
Delegasi SEDCO diketuai oleh Pengurus Besar Kumpulan, Datuk Ar. James Wong Kein Peng, manakala KKIP diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Cecilia Amid, bersama barisan pengurusan kanan dan wakil anak syarikat masing-masing.
Sepanjang sesi libat urus itu, kedua-dua organisasi menegaskan bahawa kerjasama yang lebih erat antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MINDET) mampu mempercepat pelaksanaan projek pembangunan, menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh daya saing sektor perindustrian Sabah.

Usaha tersebut bukan sahaja dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, malah turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan serta memperluaskan peluang perniagaan kepada perusahaan tempatan.
Dalam lawatan itu, KKIP turut berkongsi pengalaman membangunkan taman perindustrian bersepadu yang menggabungkan pembangunan perindustrian, komersial, logistik, kediaman dan kemudahan sokongan dalam satu ekosistem yang menyeluruh.
Model pembangunan bersepadu itu telah menyumbang kepada kejayaan KKIP sebagai antara destinasi pelaburan utama di Sabah, selain menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelabur dan industri untuk berkembang secara mampan.
SEDCO turut memanfaatkan lawatan tersebut bagi mendapatkan pendedahan mengenai amalan terbaik dalam perancangan taman perindustrian, pemudah cara pelabur serta pembangunan bandar yang akan diaplikasikan dalam pembangunan projek masa hadapan, termasuk Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat (KBEIP).
Kedua-dua organisasi juga membincangkan potensi kerjasama merentasi rantaian nilai industri negeri, khususnya dalam pembangunan infrastruktur perindustrian, perumahan mampu milik, sektor pembuatan serta industri bahan binaan bagi memperkukuh ekosistem industri Sabah.
Delegasi SEDCO turut melawat Kilang IBS KKIP bagi meninjau peluang kerjasama antara KKIP IBS dan SEDCO Precast, termasuk potensi kerjasama dalam pembangunan taman perindustrian, bandar baharu, projek infrastruktur serta pelaburan strategik pada masa hadapan.
Perbincangan yang berlangsung turut menghasilkan pelbagai cadangan kerjasama baharu yang diyakini mampu mempercepat pembangunan industri negeri, meningkatkan keyakinan pelabur serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan manfaat ekonomi jangka panjang kepada rakyat Sabah.
SEDCO dan KKIP menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh perkongsian strategik, memupuk inovasi dan menyokong pembangunan ekonomi yang lebih mampan, sekali gus membantu merealisasikan aspirasi Sabah sebagai sebuah negeri perindustrian yang berdaya saing dan berpendapatan tinggi.



