HomeUtamaUMS perkenal pendekatan didik hibur dalam modul CERIA 3M Sabah

UMS perkenal pendekatan didik hibur dalam modul CERIA 3M Sabah

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Modul CERIA 3M Sabah di sini, baru-baru ini sebagai usaha untuk menyokong peningkatan penguasaan kemahiran asas dalam kalangan murid pemulihan khas.

Bengkel yang menghimpunkan lebih 20 peserta itu diadakan sebagai persediaan pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) 2026: Pemerkasaan 3M Murid Pemulihan Sabah, yang menyasarkan peningkatan penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid pemulihan khas Tahun 2 di seluruh Sabah.

Ketua Penyelidik, Dr. Juppri Bacotang berkata bengkel tersebut bertujuan memperkukuh kandungan, strategi pengajaran serta instrumen penilaian dalam Modul CERIA 3M Sabah sebelum digunakan di sekolah-sekolah sasaran.

“Modul CERIA 3M Sabah dibangunkan berasaskan pendekatan didik hibur yang memberi penekanan kepada pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan berpusatkan murid.

“Melalui bengkel ini, kami meneliti semula setiap komponen modul bagi memastikan kesesuaiannya dengan keperluan murid pemulihan khas di Sabah yang datang daripada latar belakang dan konteks yang pelbagai,” katanya.

Menurut beliau, keunikan modul tersebut ialah penerapan elemen kearifan lokal Sabah dalam aktiviti pembelajaran yang dibangunkan menerusi adaptasi daripada persekitaran, budaya, bahasa dan pengalaman harian murid di Sabah bagi menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna serta dekat dengan kehidupan mereka.

“Antara aktiviti literasi dan numerasi yang dibangunkan menggunakan konteks tempatan ialah Gunung Kinabalu, flora dan fauna Sabah, makanan tradisional, permainan rakyat, budaya pelbagai etnik serta kehidupan komuniti pesisir pantai dan pedalaman.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan penguasaan kemahiran 3M, malah memupuk jati diri, penghargaan terhadap warisan budaya tempatan serta rasa bangga terhadap identiti Sabah dalam kalangan murid,” katanya.

Sepanjang bengkel tersebut, peserta meneliti kandungan modul secara menyeluruh, menyemak aktiviti pembelajaran, menambah baik bahan bantu mengajar, memurnikan instrumen pentaksiran serta membincangkan mekanisme pelaksanaan intervensi di sekolah, latihan pembantu pengajar, pemantauan kemajuan murid dan kaedah pelaporan serta penilaian impak program.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan penyertaan dari kalangan pensyarah universiti, pakar pendidikan, guru pemulihan khas dan penyelidik.

Antara ahli pasukan penyelidik FPPS yang terlibat mengendalikan bengkel tersebut Prof. Madya Dr. Abd. Aziz Rekan, Dr. Mohd Zafaren Zakaria, Prof. Dr. Sabariah Sharif, Profesor Emeritus Dr. Vincent Pang Ah Fook, dan Prof. Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh.

PAK 2026 dijangka melibatkan 1,954 murid pemulihan khas Tahun 2, 62 buah sekolah rendah serta 16 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah, dengan sokongan 130 pembantu pengajar di sekolah-sekolah terpilih.

RELATED ARTICLES
Utama

Taska berdaftar kunci keselamatan kanak-kanak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular