Oleh J Evachel John
SANDAKAN: Seorang lelaki didenda keseluruhan RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyambung dan mengambil bekalan elektrik secara haram di sebuah penempatan setinggan.
Tertuduh, Ahmad Safuan Baharuddin, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Roslinda Razali pada Rabu.
Mahkamah menjatuhkan denda RM4,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar bagi setiap pertuduhan. Tertuduh telah membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Safuan didapati memasang sambungan elektrik secara haram daripada tiang talian voltan rendah milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan disambung melalui sebuah pondok stor milik Samailah Cuba sebelum disalurkan ke rumah setinggannya di Kampung Pengiran Galpam, Batu 7, Jalan Labuk, tanpa kelulusan bertulis daripada SESB.
Bagi pertuduhan kedua, dia didapati secara curang mengambil bekalan elektrik melalui sambungan terus daripada tiang talian voltan rendah SESB melalui pondok stor yang sama sebelum disalurkan ke rumahnya sehingga menyebabkan SESB mengalami kekurangan caj dan kerugian.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 4.20 pagi pada 2 Julai lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Safuan didakwa mengikut Subseksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024, manakala pertuduhan kedua dibuat mengikut Subseksyen 61(3)(a) enakmen sama.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Andryeno Thomas, yang mengendalikan pendakwaan, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa kesalahan mencuri bekalan elektrik tidak akan dipandang ringan.
Beliau berkata, siasatan mendapati tertuduh menggunakan bekalan elektrik secara haram tanpa meter yang sah sejak 2020 walaupun mengetahui perbuatannya itu menyalahi undang-undang.
Terdahulu, Samailah Cuba, seorang warga asing, didenda keseluruhan RM129,000 selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.


