HomeUtamaPGA Sabah rampas produk sejuk beku, aset lebih RM24.1 juta

PGA Sabah rampas produk sejuk beku, aset lebih RM24.1 juta

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas produk sejuk beku dan aset bernilai keseluruhan RM24.15 juta menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter Op Chiller Briged Sabah yang dilaksanakan di 11 daerah di Sabah, semalam.

Antara produk sejuk beku yang dirampas dalam operasi tersebut. – Foto ihsan PGA Sabah

Operasi yang dijalankan antara jam 8 pagi hingga 6 petang itu melibatkan daerah Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.

Mohd Yusri

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi bersepadu itu bertujuan mengesan serta membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku selain mengesan pelbagai kesalahan lain.

Katanya, operasi membabitkan seramai 147 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, termasuk 78 pegawai serta anggota PGA Briged Sabah, 23 pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 23 pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar, 16 pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tujuh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Sebanyak 14 serbuan berjaya dilaksanakan sepanjang operasi, membawa kepada penahanan 21 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun.

“Daripada jumlah itu, 19 adalah warga tempatan, terdiri daripada 17 lelaki dan dua wanita, manakala dua lagi ialah lelaki warga asing. Semua yang ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM24,152,652.25, membabitkan produk sejuk beku bernilai RM10,348,152.25 serta sitaan aset bernilai RM13,804,500.

Rampasan produk sejuk beku itu merangkumi pelbagai jenis makanan seperti nugget, sosej, daging import, lamb shoulder, ayam, ikan, daging shabu-shabu dan organ dalaman lembu.

Sitaan aset pula melibatkan 11 unit chiller pelbagai jenama berkapasiti 700 liter, 24 unit bilik sejuk (cold room) pelbagai saiz serta beberapa kenderaan dan peralatan.

Mohd Yusri berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti membabitkan Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta beberapa undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“PDRM kekal komited dan konsisten membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku dan kesalahan lain di Sabah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini diminta menyalurkannya kepada pihak polis,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

MetMalaysia keluar nasihat Taufan Bavi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular