KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM600 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah sebagai bayaran awal daripada keseluruhan Pemberian Khas berjumlah RM1.5 bilion yang diumumkan sebelum ini.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pembayaran tersebut dibuat pada 12 Jun lalu sebagai sebahagian daripada amaun baharu Pemberian Khas yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Menurut kementerian itu, baki RM900 juta akan disalurkan selepas Perintah Pemberian Khas baharu berkuat kuasa, yang memerlukan beberapa proses perundangan dan pentadbiran diselesaikan terlebih dahulu.
“Draf Perintah Yang di-Pertuan Agong perlu digubal dan diwartakan selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” menurut jawapan bertulis MOF yang disiarkan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang meminta penjelasan mengenai pelaksanaan pembayaran interim RM1.5 bilion serta hubung kaitnya dengan tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
MOF menjelaskan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) masih diteruskan bagi memperincikan kaedah baharu Pemberian Khas dengan mengambil kira formula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah, di samping mematuhi kehendak Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa amaun Pemberian Khas kepada Sabah telah ditingkatkan secara berperingkat di bawah Kerajaan MADANI, daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM300 juta pada 2023, kemudian meningkat kepada RM600 juta pada 2025 sebelum dinaikkan kepada RM1.5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri pada 30 Mei lalu.
Menurut MOF, rundingan berhubung mekanisme penentuan amaun Pemberian Khas bagi tahun-tahun mendatang masih berjalan, dengan mengambil kira keperluan kewangan Sabah serta kos penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.
Kementerian itu menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan formula 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah perlu dilakukan secara teratur, mengikut lunas undang-undang serta selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).



