Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah kekal komited dalam memastikan setiap rakyat di negeri ini mempunyai akses kepada perumahan yang berkualiti, mampu milik dan mampan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pelbagai inisiatif terus dilaksanakan bagi memperluaskan peluang pemilikan rumah, meningkatkan akses kepada perumahan serta memperbaiki kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata, meskipun Kerajaan menyediakan dasar dan melaksanakan program perumahan awam, sektor swasta kekal sebagai rakan strategik yang amat penting dalam memenuhi keperluan perumahan yang semakin meningkat di Sabah.
“Saya merakamkan penghargaan kepada SHAREDA dan semua pemaju ahlinya atas usaha membangunkan projek-projek berkualiti serta komuniti yang mampan demi menyokong pertumbuhan berterusan negeri ini.

“Sektor hartanah terus menjadi antara tonggak penting ekonomi negeri dengan mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan serta merangsang pertumbuhan pelbagai industri sokongan.
“Walau bagaimanapun, sektor ini turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Shareda Propex 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.
Arifin berkata, ekonomi global pada tahun ini masih dipengaruhi oleh konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan, turun naik kadar pertukaran mata wang serta peningkatan harga bahan api yang secara langsung menyumbang kepada peningkatan kos pembangunan.

Menyedari tekanan itu katanya, Kerajaan Pusat telah memperkukuh pelaksanaan subsidi bahan api bersasar bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan.
“Kementerian saya telah menerima laporan daripada ramai pemaju mengenai peningkatan sederhana dalam kos pembinaan dan kos pematuhan peraturan, yang dijangka akan menyebabkan pelarasan harga hartanah kediaman baharu sejajar dengan perkembangan tersebut.
“Walaupun industri berdepan dengan persekitaran kos yang semakin mencabar, adalah amat penting untuk memastikan perumahan terus kekal mudah diakses dan mampu dimiliki oleh rakyat, khususnya pembeli rumah pertama serta golongan B40 dan M40.
“Hakikatnya, para pemaju bukan sekadar membina bangunan, malah mereka turut membentuk komuniti bersepadu dan bandar-bandar yang mampan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO ALEXTER ROSALIA



