HomeUtamaBelia pencetus idea, rakan strategik pembangunan Sabah

Belia pencetus idea, rakan strategik pembangunan Sabah

Read Time:2 Minute, 47 Second

TAWAU: Golongan belia bukan lagi sekadar pewaris kepimpinan masa depan, sebaliknya kini menjadi pencetus idea, penggerak ekonomi, peneraju inovasi, pemimpin. komuniti serta rakan strategik kerajaan dalam mencorakkan pembangunan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber asli atau kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh kualiti rakyat, khususnya generasi muda yang menjadi pemacu utama kemajuan negeri.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh belia di Sabah supaya terus melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi (high-skill), menguasai teknologi terkini serta memupuk nilai integriti yang utuh bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam landskap ekonomi masa depan.

“Jangan takut untuk meneroka bidang-bidang baharu seperti keusahawanan digital, ekonomi hijau dan inovasi yang mampu mencipta peluang pekerjaan untuk diri sendiri serta masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demimian ketika merasmikan Karnival Hari Belia Sabah sempena Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2026 di Kompleks Sukan Tawau, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa meletakkan pembangunan belia sebagai antara keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan Sabah, terutama apabila negeri ini kini memasuki fasa baharu menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menurutnya, pelan pembangunan itu bukan sekadar meneruskan kejayaan Sabah Maju Jaya 1.0, malah menjadi asas memperkukuh ekonomi negeri, mempercepat pembangunan infrastruktur, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkasakan modal insan ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang progresif, inklusif dan berdaya tahan.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan suara dan keperluan golongan belia sentiasa diberi perhatian menerusi pelbagai dasar serta inisiatif yang memperkukuh kepimpinan generasi muda dan menyediakan mereka menghadapi cabaran masal depan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelaburan dalam pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif membabitkan akses pendidikan, latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan bakat, pembinaan kepimpinan serta peluang keusahawanan yang lebih inklusif.

Beliau berkata, sehingga kini kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021 bagi memastikan lebih ramai pelajar Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti tanpa dibebani masalah kewangan.

Katanya, kerajaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan TVET, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (Al), ekonomi digital, automasi, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, industri minyak dan gas, aeroangkasa, maritim, pelancongan, pertanian moden serta ekonomi kreatif yang menawarkan peluang kerjaya luas kepada generasi muda.

Menyentuh Sukarelawan Belia Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan, Hajiji berkata, penubuhan sukarelawan itu bukan sekadar satu program, sebaliknya sebuah gerakan yang menghimpunkan aspirasi, potensi dan cita-cita generasi muda Sabah bagi melahirkan belia yang lebih berdaya saing, berkemahiran, berintegriti, inovatif serta mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.

“Saya berharap Sukarelawan Belia SMJ menjadi wadah melahirkan pemimpin muda yang cemerlang, berjiwa rakyat, mempunyai semangat perpaduan dan rasa tanggungjawab untuk bersama-sama membangunkan negeri yang kita cintai ini.

“Kita mahu belia Sabah dikenali kerana kejayaan yang mereka cipta, nilai yang mereka pegang serta sumbangan besar yang mereka berikan kepada negeri, negara dan dunia,” katanya.

Beliau turut berharap budaya kesukarelawanan terus diperkasakan dalam kalangan belia memandangkan Sabah sering berhadapan pelbagai cabaran termasuk bencana alam, perubahan iklim dan isu sosial, yang memerlukan semangat saling membantu tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Dalam masa sama, Hajiji menyeru golongan belia supaya terus menjadi Jambatan perpaduan yang menyatukan masyarakat, mengekalkan keharmonian serta tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang boleh menggugat keamanan negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

Eksesais Keris Strike Siri 31/2026 perkukuh kerjasama ketenteraan Malaysia, AS dan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular