HomeUtamaECoS perjelas status loji janakuasa SOGIP, bukan untuk bekalan grid Sabah

ECoS perjelas status loji janakuasa SOGIP, bukan untuk bekalan grid Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) menjelaskan bahawa loji janakuasa berkapasiti 200 megawatt (MW) yang sedang dibangunkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bukan bertujuan membekalkan elektrik kepada Grid Sabah, sebaliknya merupakan loji penjanaan sendiri (self-generation) khusus bagi memenuhi keperluan tenaga kilang Esteel yang sedang dibangunkan di kawasan berkenaan.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan media bertajuk “Loji Janakuasa 200MW SOGIP Dijangka Siap Suku Ketiga 2027” yang disiarkan pada 10 Julai, yang menurut ECoS mengandungi beberapa maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Menurut ECoS dalam kenyataannya hari ini, loji berkenaan dibina khusus untuk menyokong operasi industri Esteel di SOGIP dan tidak akan menyalurkan bekalan elektrik kepada sistem Grid Sabah.

Dalam masa sama, ECoS memaklumkan usaha memperkukuh bekalan elektrik negeri diteruskan menerusi pembangunan beberapa projek penjanaan baharu yang disambungkan terus ke Grid Sabah.

Sebuah loji janakuasa gas baharu berkapasiti 100MW di Kimanis kini berada pada fasa akhir pembangunan dan dijangka mula membekalkan tenaga kepada Grid Sabah pada Ogos 2026.

Selain itu, dua lagi loji janakuasa gas di Kimanis dengan kapasiti keseluruhan 200MW telah diluluskan oleh Majlis Tenaga Sabah tahun ini dan dijadualkan mula beroperasi pada penghujung 2028.

Menurut ECoS, apabila kesemua projek tersebut siap bersama projek-projek penjanaan lain yang sedang dirancang, kapasiti penjanaan Grid Sabah akan terus diperkukuh bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik serta mengekalkan tarif yang berpatutan untuk jangka panjang.

ECoS berkata penjelasan itu dibuat bagi memberikan gambaran tepat mengenai fungsi sebenar loji janakuasa SOGIP serta mengelakkan salah faham berhubung peranannya dalam sistem bekalan elektrik negeri.

Suruhanjaya itu turut menegaskan komitmennya untuk terus memastikan maklumat berkaitan pembangunan sektor tenaga di Sabah disampaikan secara tepat, telus dan berfakta demi kepentingan semua pihak.

Sementara itu, Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) dalam satu kenyataan hari ini, turut merakamkan penghargaan kepada ECoS atas penjelasan rasmi yang dikeluarkan berhubung fungsi sebenar loji janakuasa berkapasiti 200 MW di SOGIP.

katanya, penjelasan itu diharap dapat memberikan gambaran yang tepat kepada orang ramai sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan mengenai tujuan sebenar pembinaan loji berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Julita sambut baik tawaran 560 jawatan tetap pegawai perubatan untuk Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular