KOTA KINABALU : Sebanyak lima kompaun berjaya dikeluarkan kepada penjaja dalam pemeriksaan pasca kempen di Pasar Malam Api-Api Night Food Market bersempena dengan Kempen Pasar Malam Bersih 2026 di sini baru-baru ini.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, kompaun itu dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 1966 (Pindaan 2008) atas kesalahan tidak memiliki sijil kesihatan yang sah.

Menurut DBKK, pemeriksaan itu dilaksanakan bagi memastikan para penjaja dan pengendali makanan mematuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan makanan, kebersihan premis dan kesihatan awam.
“Operasi yang bermula pada jam 6.30 petang itu melibatkan seramai 53 anggota daripada pelbagai jabatan DBKK, iaitu Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan.
“Antara aspek yang diberi tumpuan semasa pemeriksaan termasuk pematuhan pengendali makanan, tahap kebersihan lot gerai, kaedah penyimpanan makanan yang selamat, pemakaian pakaian pelindung diri seperti apron, penutup kepala dan kasut yang bersesuaian, serta penyediaan tong sampah bagi memastikan persekitaran perniagaan yang bersih dan teratur,” menurut kenyataan itu di sini.

DBKK akan terus mempergiatkan usaha pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan pematuhan peraturan sentiasa berada pada tahap yang baik.



