KOTA KINABALU : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di beberapa buah daerah di Sabah.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, antara daerah terlibat adalah di Kota Kinabalu, Kudat dan Sandakan yang bertujuan bagi membanteras kehadiran warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan melibatkan pelaksanaan Ops Minyak, Ops Selera, Ops Sapu, Ops Kutip serta operasi bersama agensi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing.
“Sepanjang operasi itu, seramai 216 individu telah diperiksa. Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 62 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta melanggar syarat pas.

“Di Kota Kinabalu, Ops Minyak dan Ops Selera melibatkan pemeriksaan terhadap 13 individu. Daripada jumlah itu, sembilan warga asing ditahan terdiri daripada dua wanita warga Filipina, seorang lelaki warga India, lima lelaki warga Indonesia dan seorang wanita warga Indonesia.
“Di Kudat pula, Ops Sapu dan Ops Kutip memeriksa seramai 37 individu dengan 14 warga Filipina ditahan. Mereka terdiri daripada lima lelaki dewasa, dua wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak Perempuan,”menurut kenyataan itu di sini pada Isnin.
Sementara itu, operasi penguatkuasaan bersama agensi di Sandakan mencatat jumlah pemeriksaan tertinggi apabila melibatkan 166 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 39 warga asing ditahan, terdiri daripada 32 warga Filipina iaitu dua lelaki dewasa, 29 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, selain tujuh warga Indonesia membabitkan lima lelaki dewasa dan dua wanita dewasa.

Secara keseluruhan, daerah Sandakan merekodkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 39 orang, diikuti Kudat seramai 14 orang dan Kota Kinabalu sembilan orang.
JIM Sabah berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum tindakan diambil mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan-peraturan imigresen yang sedang berkuat kuasa.
Menurut jabatan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan di seluruh Sabah bagi mengesan dan menahan pendatang asing tanpa izin serta memastikan setiap warga asing yang berada di negeri ini mematuhi undang-undang imigresen negara.



