HomeUtamaNRES perkukuh kerangka undang-undang tarik pelabur

NRES perkukuh kerangka undang-undang tarik pelabur

Read Time:3 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang memperkukuh kerangka perundangan, kawal selia dan ekonomi negara bagi mentransformasikan sumber alam daripada liabiliti kepada aset bernilai tinggi yang berdaya dibiayai serta mampu menarik minat pelabur.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada strategi negara untuk mempercepat pembangunan mampan menerusi pelaburan impak yang mampu menjana pulangan ekonomi, di samping memberikan manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat.

Katanya, inisiatif berkenaan dipandu oleh Pelan Strategik NRES 2024-2030 yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber asli secara mampan, tindakan iklim, perlindungan alam sekitar serta pertumbuhan hijau.

“Matlamat kami adalah memastikan pertumbuhan ekonomi bergerak seiring dengan daya tahan ekologi, sekali gus menyediakan saluran pelaburan mampan yang kukuh kepada sektor swasta,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia-Pasifik Sabah bagi Pembangunan Mampan 2026, di sini, hari ini.

Arthur berkata, krisis iklim global memerlukan pendekatan pembiayaan baharu kerana pembiayaan awam dan geran tradisional tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan kewangan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta sasaran pelepasan karbon sifar bersih negara.

Menurutnya, ekosistem kewangan kini perlu beralih kepada pelaburan impak yang membolehkan modal swasta menjana pulangan kewangan kompetitif bersama manfaat alam sekitar dan sosial yang boleh diukur.

“NRES juga komited menyediakan kepastian dasar dan kestabilan pasaran melalui pembangunan Pasaran Karbon Sukarela (VCM), Pembiayaan Hijau, Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) dan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0) bagi meningkatkan keyakinan pelabur.

“Selain itu, Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang sedang dimuktamadkan akan menjadi asas perundangan bagi menyelaras tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di negara ini.

“Apabila diluluskan, Malaysia bakal menjadi negara kedua di ASEAN dan antara kira-kira 60 negara di dunia yang mempunyai undang-undang khusus berkaitan perubahan iklim,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur turut memaklumkan, melalui kerjasama dengan kerajaan negeri termasuk Sabah, NRES turut memperkukuh pembangunan daftar kredit karbon berintegriti tinggi serta menyokong projek pemuliharaan bertaraf antarabangsa seperti Pulau Mengalum, Inisiatif Heart of Borneo (HoB), Banjaran Crocker dan Kinabatangan.

Katanya, kementerian juga menghubungkan aset berasaskan alam semula jadi dengan pasaran modal global menerusi instrumen seperti Pembiayaan Campuran (Blended Finance) dan Bursa Saham Sosial bagi mengurangkan risiko pelaburan hijau.

Dalam aspek teknologi, Arthur berkata Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) memainkan peranan penting dalam mempercepat transformasi ekonomi rendah karbon melalui pembangunan garis panduan pengukuran pelepasan karbon, pembangunan kapasiti, metodologi projek karbon serta penubuhan Daftar Karbon Kebangsaan.

“Malaysia turut memanfaatkan kekayaan hutan tropika sebagai aset ekonomi hijau, dengan negara kini mengekalkan 54.4 peratus kawasan tanah dilitupi hutan dan pokok, melebihi komitmen minimum 50 peratus.

“Sabah terus menjadi peneraju dalam penyelesaian berasaskan alam menerusi Projek Pemulihan Hutan Hujan Yayasan Innoprise-FACE (INFAPRO) dan Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut, projek karbon berasaskan alam pertama negara yang menerima pensijilan antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, projek Kuamut yang meliputi lebih 83,000 hektar hutan hujan tropika telah menjana lebih empat juta kredit karbon yang disahkan sejak 2024, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai peneraju pembiayaan karbon bagi pemuliharaan hutan dan pembangunan komuniti.

“Manakala Dana Hutan Malaysia (Malaysia Forest Fund – MFF) pula sedang membangunkan portfolio pelaburan berasaskan alam untuk menarik pelabur antarabangsa, selain memastikan hasil daripada kredit karbon disalurkan semula kepada komuniti tempatan bagi menyokong ekonomi luar bandar dan usaha pemuliharaan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa strategi kelestarian negara kini diperluaskan kepada Ekonomi Biru dengan memberi tumpuan kepada pembangunan akuakultur mampan, karbon biru, perlindungan biodiversiti marin serta pengurangan pencemaran plastik.

“Pasaran telah bersedia, saluran pelaburan telah dibuka dan komitmen politik adalah kukuh. Kini masanya untuk semua pihak membentuk kerjasama yang nyata bagi mempercepat pembangunan mampan di rantau Asia-Pasifik,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Keputusan Majoriti Hakim 2-1, Mahkamah Persekutuan kekalkan pembebasan Syed Saddiq

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular