KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) menganjurkan program Sabah Genome Day dan Hari Terbuka IPB 2026 baru-baru ini sebagai usaha memacu kecemerlangan penyelidikan bioteknologi menerusi pengenalan kepakaran serta fasiliti penyelidikan IPB kepada komuniti.
Bertemakan Planetary Health, program yang diadakan di IPB, UMS itu menghimpunkan lebih 250 peserta dan menjadi platform strategik bagi memperluas pengetahuan berkaitan genomik dan bioteknologi dalam kalangan pelajar, di samping mengukuhkan kolaborasi berimpak tinggi antara universiti, sekolah, komuniti.

Pengarah IPB, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau berkata, program itu penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai penyelidikan genomik dan bioteknologi yang kini menjadi antara bidang utama dalam pembangunan sains dan teknologi negara.
“Saya berharap program ini akan menjadi platform yang dapat merapatkan jurang antara penyelidikan dan masyarakat serta menginspirasi lebih ramai anak muda Sabah untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Ini sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan program itu, di sini.
Antara pengisian program ialah sesi interaksi bersama pakar-pakar IPB, taklimat pengajian akademik, serta pembelajaran secara hands-on melalui aktiviti pengekstrakan DNA, praktikal pengendalian mikroskop, pembinaan model rantaian DNA serta ujian rasa Phenylthiocarbamide (PTC) yang memperkenalkan konsep variasi genetik manusia secara interaktif.
Sementara itu, pengerusi program Sabah Genome Day 2026, Dr. Mardani Abdul Halim turut menzahirkan harapan agar inisiatif tersebut dapat menjadi medium penghubung antara penyelidik dan masyarakat.
Usaha transformatif itu menjadi manifestasi komitmen berterusan UMS dalam menerajui kecemerlangan penyelidikan, membudayakan sains, memperkasa literasi genomik serta menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.



