KOTA KINABALU : Sabah FC memberi bayangan awal apabila mengumumkan pengekalan 13 pemain utama pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.
Menerusi hantaran di media sosial Sabah FC memaklumkan, perjuangan barisan pemain itu masih belum selesai dan bakal diteruskan demi memburu kejayaan pada musim baharu.
Skuad The Rhinos dilihat memilih untuk mengekalkan kestabilan pasukan dengan kombinasi pemain senior yang berpengalaman tinggi serta barisan pemain muda yang sedang meningkat naik.
Antara pemain yang masih kekal menyarung jersi Sang Badak termasuklah gandingan pemain tengah, Miguel Cifuentes; pemain pertahanan Dominic Tan serta penyerang Kebangsaan, Darren Lok.
Selain itu, turut dikekalkan Damien Lim; Ramzi Mustakim; Farhan Roslan; R.Dinesh; Dane Ingham; Fakrul Iman; Harith Naem; Rozacklye Yanam dan Rusdi Roslan.
Langkah mengekalkan pemain utama itu dilihat sebagai strategi terbaik pihak pengurusan bagi memastikan keserasia antara pemain sedia ada tidak terjejas.
Ini sekali gus memudahkan persiapan taktikal menjelang sepak mula musim baharu.
Sementara itu, Sabah FC turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pemain yang telah menjadi sebahagian penting dalam Skuad Badak.
“Segala pengorbanan, perjuangan dan sumbangan yang telah diberikan amat bermakna bagi kami. Ia akan sentiasa dikenang dan menjadi sebahagian daripada perjalanan Sabah FC.
“Selamat Maju Jaya dalam perjalanan kerjaya seterusnya. Sekali Rhino, tetap Rhino,” menurut kenyataan itu di sini.
Antara pemain yang diumumkan tidak bersama Sabah FC termasuklah Khairul Fahmi Che Mat; Fergus Tierney; Gabriel Peres; Gary Steven Robbat; Kumaahran Sathasivam; Jafri Chew; Maxsius Musa; Dean Pelekanos; Ernesto Phumipha dan Belfort Kervensfils.

Turut diumumkan tidak bersama Sabah FC adalah Chris Ondong Mba; Shahrol Nizam Rahman; Ritchie Svenson dan Amir Jef Anjam. – SABAH MEDIA



