BEAUFORT : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort menyita sebanyak 900 kilogram gula pasir kasar yang disyaki disimpan melebihi had kuantiti dibenarkan dalam satu operasi penguatkuasaan di Pekan Sipitang, di sini baru-baru ini.
Rampasan itu dilakukan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu hasil kerjasama strategik antara KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas kementerian menerima serahan barang kes untuk tindakan sitaan semula dan siasatan lanjut.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Jamiah Bakar, berkata kes berkenaan dipercayai berlaku kira-kira jam 1 petang pada 8 Julai di sebuah premis perniagaan yang menjalankan aktiviti jualan runcit di Pekan Sipitang.

Beliau berkata, pemeriksaan awal oleh Pasukan Risik/Task Force Batalion 21 Pasukan Gerakan Am (PGA), PDRM mendapati premis terbabit disyaki menyimpan gula melebihi had kuantiti yang dibenarkan mengikut syarat Lesen CSA.
“Susulan penemuan itu, barang kes diserahkan kepada KPDN Beaufort untuk tindakan sitaan semula dan siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Hasil tindakan itu, KPDN menyita sebanyak 900 kilogram gula pasir kasar jenama CSR dalam bungkusan satu kilogram serta beberapa dokumen berkaitan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jamiah berkata, KPDN memandang serius sebarang bentuk penyelewengan melibatkan barang kawalan dan akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu membuktikan komitmen KPDN bersama agensi penguat kuasa dalam membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan pematuhan terhadap syarat lesen yang ditetapkan.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan,” katanya.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran syarat lesen atau mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan.
Katanya, sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi, tindakan pendakwaan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, KPDN Beaufort akan terus memperhebat pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu bersama agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan dan barang bersubsidi.
Usaha itu penting bagi memastikan bekalan barang kawalan sentiasa mencukupi, mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan serta mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna dan negara.
KPDN turut menggesa orang ramai supaya menjadi mata dan telinga kementerian dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui WhatsApp Aduan KPDN di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.



