Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM4,000 atau dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memuat naik kandungan palsu di TikTok berhubung dakwaan penghantaran diesel ke Filipina.
Tertuduh, Shahuddin Gowana, 51, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Monica Linsua.
Mengikut pertuduhan Shahuddin telah menggunakan perkidmatan aplikasi TikTok “@izzyderabbit” untuk secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang palsu sifatnya dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang.
Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 14 April 2026 jam lebih kurang 2 petang di sekitar Kawasan Universiti Utama Condominium, Jalan Kayu Madang, Telipok.
Video itu telah dilihat oleh seorang wanita pada 15 April 2026 jam lebih kurang 8.57 pagi di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Cyberjaya dalam daerah Sepang, Selangor.
Dia disabit kesalahan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan denda selanjutrya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mengikut fakta kes, hasil analisis forensik terhadap telefon pintar yang dirampas daripada tertuduh menemukan akaun TikTok yang disiasat serta video berdurasi tiga minit 42 saat yang telah dipadam.
Hantaran tersebut antara lain mendakwa bahawa Kerajaan Malaysia kerajaan penipu dan menyatakan sesiapa yang mempercayai kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia berhubung penafian penghantaran tong diesel ke Filipina dianggap bodoh kerana mempercayai kenyataan tersebut.
Fakta kes turut menyatakan bahawa kenyataan tertuduh di dalam video tersebut juga seolah-olah mengambarkan berita yang dikeluarkan oleh Filipina adalah sah dan benar.
Menurut fakta kes itu lagi, kandungan hantaran iaitu video tersebut adalah palsu, mengelirukan dan tidak disahkan kebenarannya.
“Dakwaan mengenai penghantaran diesel ke Filipina juga telah dinafikan oleh pihak berkuasa MTEN, yang menjelaskan bahawa penghantaran tersebut tidak melibatkan minyak milik Kerajaan Malaysia atau PETRONAS, sebaliknya melibatkan syarikat perdagangan antarabangsa.
“Penghantaran komunikasi tersebut dibuat dengan niat untuk mengganggu orang lain, termasuk dengan menyebabkan orang ramai mempercayai maklumat palsu tersebut, sehingga berpotensi menimbulkan kekeliruan, salah faham, kebencian atau kemarahan terhadap Kerajaan Malaysia, khususnya terhadap YAB Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Komunikasi tersebut juga berpotensi menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap kestabilan ekonomi negara serta pentadbiran kerajaan,” menurut fakta kes yang dibacakan di Mahkamah tadi.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan kerana terlah mengaku salah sekali gus menjimatkan masa mahkamah.
Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dan mendakwa dirinya sebagai ‘content creator’ memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mempunya tanggungan iaitu isteri tujuh orang anak dan ibu yang sudah berusia selain mempunyai masalah kesihatan.
Pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, antara lain memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berfungsi sebagai pengajaran terhadap penyalahgunaan kebebasan bersuara melalui penyebaran kandungan palsu yang mampu mencetuskan kebencian serta menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan negara.



