KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang didakwa berlarutan hampir dua bulan di Wisma Merdeka.
Pengerusinya, David Chan, berkata pihaknya menerima aduan daripada pengguna yang mendakwa gangguan berkenaan menjejaskan kemudahan asas, khususnya tandas awam, selain memberi kesan kepada penyewa premis, pekerja dan pengunjung kompleks beli-belah itu.
Beliau berkata, bekalan air yang stabil amat penting bagi memastikan aspek kebersihan, sanitasi dan keselesaan pengguna sentiasa terpelihara, terutama di premis yang menerima kehadiran orang ramai setiap hari.
“Keadaan ini turut memberi kesan kepada golongan warga emas, wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan akses kepada kemudahan tandas yang bersih dan berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan Wisma Merdeka menjelaskan punca sebenar gangguan bekalan air serta mengambil langkah segera bagi memastikan kemudahan asas di kompleks itu dapat beroperasi seperti biasa.
Pada masa sama, David berkata, sekiranya gangguan berpunca daripada tekanan air rendah atau bekalan air awam, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca sebenar dan mengambil tindakan pembaikan.
Menurutnya, langkah sementara seperti penyediaan lori tangki air juga wajar dipertimbangkan bagi memastikan tangki simpanan air bangunan mencukupi sehingga bekalan pulih sepenuhnya.
Beliau berkata, kerjasama erat antara pihak pengurusan Wisma Merdeka dan JANS penting bagi menentukan sama ada masalah berpunca daripada sistem bekalan air awam, tekanan air yang rendah atau sistem simpanan serta agihan air dalaman bangunan.
“Masalah yang berlarutan di sebuah kompleks komersial utama tidak seharusnya dibiarkan kerana ia menjejaskan kebersihan awam, keselesaan pengguna, operasi perniagaan dan kebajikan pekerja.
“Akses kepada bekalan air bersih dan kemudahan sanitasi yang baik adalah keperluan asas. Pengguna tidak sepatutnya terus berdepan kesulitan dalam mendapatkan kemudahan tersebut,” katanya.
Beliau berharap semua pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi memulihkan bekalan air demi menjaga kebajikan pengguna, penyewa dan pekerja di kompleks berkenaan.



