HomeUtamaDun Sabah : Adun Karambunai Ingatkan Kerajaan Mengenai Amanah

Dun Sabah : Adun Karambunai Ingatkan Kerajaan Mengenai Amanah

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan mengingatkan kerajaan supaya menjadikan amanah, integriti dan keadilan sebagai asas utama dalam menguruskan setiap sen wang rakyat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata, walaupun menyokong cadangan peruntukan tambahan sebanyak RM1.6 bilion, perbelanjaan itu mesti dilaksanakan secara berhemah dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau peruntukan ini digunakan dengan betul untuk operasi kerajaan dan kepentingan rakyat, saya menyokong usul perbekalan tambahan ini. Namun, amanah dalam menguruskan kewangan awam perlu sentiasa dipelihara,” katanya ketika membahaskan usul itu pada persidangan DUN Sabah.

Mengulas lanjut, beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa yang mengingatkan supaya amanah diserahkan kepada pihak yang berhak serta setiap urusan diputuskan dengan penuh keadilan.

Menurutnya, amanah bukan sekadar memegang kuasa, sebaliknya memastikan hasil negeri diurus dengan penuh integriti, keadilan dan rasa tanggungjawab kepada Allah SWT.

“Kerajaan yang baik bukan diukur berdasarkan jumlah wang yang dibelanjakan, tetapi kebijaksanaan mengurus setiap ringgit yang diamanahkan oleh rakyat.

“Di sebalik setiap ringgit itu ada peluh petani, nelayan, guru, penjawat awam dan peniaga yang bekerja keras mencari rezeki,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap sen wang awam yang dibelanjakan bukan sahaja akan dipersoalkan oleh rakyat, malah akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Dr Aliakbar berkata, peruntukan tambahan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berbelanja tanpa kawalan, sebaliknya perlu disertai disiplin fiskal, ketelusan dan keutamaan yang jelas.

“Kerajaan yang baik bukan kerajaan yang paling banyak berbelanja, tetapi kerajaan yang mampu membezakan antara keperluan dan kehendak, antara pelaburan dan pembaziran serta antara kepentingan rakyat dan kemewahan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pembaziran merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah, selain bertentangan dengan tuntutan agama yang melarang sikap boros.

Pada akhir perbahasannya, beliau mendoakan supaya peruntukan RM1.6 bilion itu benar-benar dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat serta mengingatkan semua pihak yang menguruskan kewangan awam supaya sentiasa berpegang kepada amanah.

“Walaupun ada perkara yang tidak dilihat manusia, Allah SWT Maha Melihat. Semoga setiap sen yang dibelanjakan menjadi amanah yang dipelihara dan sampai kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Kerajaan perkukuh mitigasi menyeluruh tangani konflik manusia dan hidupan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular