Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pengawal kelab malam atau ‘bouncer’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol seorang pelajar kolej yang dipercayai pelanggan kelab berkenaan.
Shah Rizal Sazry, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa berusia 21 tahun di tingkat satu tempat letak kenderaan kelab malam itu di Penampang pada 11 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah, jika ada, sementara menunggu kes selesai.
Mahkamah menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.



