HomeUtamaAnwar tempelak kenyataan Sanusi, tegas pemimpin tidak wajar hina peranan kaum lain

Anwar tempelak kenyataan Sanusi, tegas pemimpin tidak wajar hina peranan kaum lain

Read Time:1 Minute, 44 Second

PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa mempertikaikan kedudukan kaum lain di negara ini, sambil menegaskan retorik sedemikian hanya menghakis semangat perpaduan yang menjadi asas pembinaan Malaysia.

Anwar berkata, mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum kerana Malaysia dibina atas semangat kebersamaan rakyat pelbagai kaum yang menerima Perlembagaan Persekutuan serta setia kepada negara.

“Saya tidak setuju sama sekali mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum di negara kita.

“Kita negara sudah merdeka lebih 50 tahun. Saya fikir tidak harus ada mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan begitu kerana ia menghina kehadiran kaum lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin dan Pelancaran Program Nuqaba di Permatang Pauh pada Sabtu.

Kenyataan itu dipercayai sebagai respons terhadap ucapan Muhammad Sanusi yang mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis serta berisiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun sekiranya tiada perubahan drastik dilakukan.

Menteri Besar Kedah itu turut mengaitkan kepimpinan Melayu dalam kerajaan dengan watak “Buang” dalam filem klasik Sarjan Hassan, selain mendakwa terdapat pemimpin Melayu yang sanggup menggadaikan prinsip demi kepentingan kuasa politik.

Muhammad Sanusi juga mendakwa Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat perlindungan masyarakat pribumi, manakala kaum lain masih mempunyai negara asal masing-masing.

Mengulas perkara itu, Anwar menegaskan kenyataan sedemikian tidak mencerminkan semangat Perlembagaan dan realiti pembinaan negara yang selama ini diasaskan atas kerjasama semua kaum.

Beliau berkata, walaupun orang Melayu merupakan kaum majoriti, rakyat berketurunan Cina, India serta pelbagai latar belakang lain yang menerima Perlembagaan dan menjadi warganegara yang taat turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Apa lagi dalam kalangan masyarakat Cina, India yang taat, terima Perlembagaan, menjadi warganegara yang baik, harus kita rangkul sebagai kekuatan Malaysia,” katanya.

Anwar turut memberi isyarat bahawa naratif berasaskan sentimen perkauman tidak seharusnya dijadikan modal politik kerana ia hanya berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi kekuatan negara sejak merdeka.

RELATED ARTICLES
Utama

Bomba selamatkan 12 mangsa banjir di SK Kuala Apas, Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular