BEAUFORT : Tiga lokasi yang sering dilanda banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dikenal pasti sebagai keutamaan bagi pelaksanaan langkah mitigasi untuk mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan keselamatan penduduk.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, Jalan Bangkalalak, Jalan Suasa dan Jalan Batandok Lubak merupakan antara kawasan yang kerap terjejas apabila hujan berterusan menyebabkan paras air meningkat.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan laluan penduduk, malah turut mengundang risiko kepada pengguna jalan raya berikutan arus air yang deras ketika banjir.
“Ketiga-tiga lokasi ini memerlukan perhatian segera kerana banjir yang berlaku memberi kesan kepada pergerakan harian penduduk dan aspek keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan serta beberapa agensi teknikal kerajaan, di sini
Lawatan tersebut turut disertai wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) bagi menilai keadaan semasa sistem saliran, jajaran sungai serta keperluan penambahbaikan infrastruktur di kawasan terlibat.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, keadaan hujan ketika lawatan berlangsung membolehkan agensi teknikal melihat sendiri aliran air dan mengenal pasti punca yang menyebabkan kawasan berkenaan mudah dinaiki air.
Katanya, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk pembinaan ‘box culvert’, pembesaran dan pendalaman jajaran sungai sedia ada serta pembinaan jajaran sungai baharu bagi mempertingkatkan keupayaan sistem saliran.
Beliau turut menjelaskan penglibatan JTU penting bagi memastikan cadangan jajaran sungai baharu dapat dilaksanakan melalui laluan yang bersesuaian tanpa menjejaskan tanah milik persendirian.
“Hasil penilaian ini akan dijadikan asas kepada penyediaan laporan teknikal dan anggaran kos sebelum dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan pelaksanaan,” katanya.
Ruslan berharap usaha bersepadu antara wakil rakyat dan agensi teknikal dapat mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan impak banjir sekali gus menjamin keselamatan serta kesejahteraan penduduk di Lumadan.



