HomeUtamaHina mahkamah: Shafie Apdal dipenjara lima minggu

Hina mahkamah: Shafie Apdal dipenjara lima minggu

Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dijatuhi hukuman penjara lima minggu selepas didapati bersalah atas kesalahan menghina mahkamah berhubung kenyataannya berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir, hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa mulai hari ini.

Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan Presiden Parti Warisan itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan berkenaan.

Shafie, 68, disabitkan atas kesalahan menghina mahkamah mengikut Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Perenggan 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948.

Dalam penghakimannya, Amir Shah berkata, mahkamah telah memainkan rakaman video berkenaan dan mendengar sendiri keseluruhan ucapan responden (Shafie) di mahkamah terbuka.

“Setelah menilai sendiri rakaman penuh dan konteksnya, mahkamah mendapati kenyataan di luar mahkamah yang dibuat oleh responden tidak boleh dilindungi atas alasan kebebasan bersuara (cannot be shielded under the guise of free speech)

“Ringkasnya, ucapan itu bukan sahaja telah mendahului mahkamah dengan mengisytiharkan bahawa ia adalah kes bunuh sebelum mahkamah menyelesaikan inkuesnya, malah ia turut menjejaskan integriti dan kewibawaan pentadbiran keadilan. Ringkasnya, ia merupakan satu penghinaan serius terhadap mahkamah,” katanya.

Amir Shah berkata, sama ada Koroner akan dipengaruhi oleh kenyataan responden adalah sesuatu yang tidak material dan tidak relevan kerana isu sebenar bukan terletak pada Koroner, sebaliknya pada responden yang mengeluarkan kenyataan berkenaan di hadapan orang ramai ketika prosiding inkues masih berjalan.

Beliau berkata, responden mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa tujuan inkues adalah untuk menentukan, antaranya, bagaimana si mati menemui ajalnya, selain proses mahkamah yang memerlukan saksi-saksi berkaitan dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah juga berpuas hati bahawa Peguam Negara (pemohon) berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa responden mengeluarkan kenyataan berkenaan pada 20 September 2025 ketika prosiding inkues masih aktif dan sedang berlangsung.

Menurutnya, kenyataan bahawa “Kanak-kanak ini dibunuh” telah terlebih dahulu membuat kesimpulan terhadap isu utama yang perlu diputuskan dalam inkues, selain mencemarkan proses kehakiman apabila menyatakan, “konon mahkamah siasat… ke mana keadilan ini?”

“Kenyataan itu mewujudkan risiko sebenar dan ketara untuk mengganggu pentadbiran keadilan serta menghakis keyakinan awam, khususnya terhadap badan kehakiman.

“Responden juga gagal sepenuhnya membersihkan penghinaan terhadap mahkamah itu apabila membiarkan penerbitan yang mengandungi kenyataan berkenaan terus boleh diakses oleh orang ramai,” tambahnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Nadia Mohd Izhar mewakili pemohon, manakala Shafie diwakili peguam Jakariya AB Jalil dan Chen Ket Chuin.

Untuk rekod, Peguam Negara memfailkan Notis Permohonan Ex Parte bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital pada 19 Oktober 2025 dan permohonan itu dibenarkan oleh mahkamah pada 23 Oktober 2025.

Zara, seorang pelajar Tingkatan Satu, ditemui tidak sedarkan diri di asramanya pada 16 Julai tahun lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

Inkues terhadap kematiannya bermula pada 3 September 2025 dan masih berlangsung.

RELATED ARTICLES
Utama

Rayuan kes dadah dibenarkan, hukuman penjara warga asing dikurangkan kepada 12...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular