KOTA KINABALU: Kerjasama teknologi perlu diterjemahkan kepada peningkatan yang boleh diukur dari segi produktiviti, pembangunan kemahiran tempatan dan peluang pekerjaan supaya mampu menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, transformasi digital tidak seharusnya sekadar melibatkan penggunaan teknologi baharu, sebaliknya perlu menyelesaikan cabaran operasi sebenar, meningkatkan prestasi organisasi serta mewujudkan nilai yang jelas kepada perniagaan dan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sri Komputer Sdn Bhd dan Infor (Malaysia) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Menurutnya, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data dan automasi berpotensi membantu syarikat di Sabah beroperasi dengan lebih cekap, mengurus kos secara lebih berkesan, memperkukuh rantaian bekalan serta membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data.
Bagaimanapun, katanya, keberkesanan penggunaan teknologi perlu dinilai berdasarkan peningkatan produktiviti, tadbir urus yang lebih baik, kualiti penyampaian perkhidmatan serta daya tahan sesebuah perniagaan.
“Teknologi hanya akan memberi manfaat sekiranya ia digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar dan menghasilkan penambahbaikan yang boleh diukur, bukannya sekadar mengikut trend tanpa matlamat yang jelas,” katanya.
Masidi berkata, kerjasama antara penyedia teknologi antarabangsa dengan syarikat tempatan merupakan langkah penting bagi menggabungkan kepakaran global dengan pemahaman mendalam terhadap persekitaran operasi dan keperluan pelanggan di Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa proses pendigitalan perlu disokong oleh aspek keselamatan siber, perlindungan data, ketelusan, akauntabiliti serta pengawasan manusia bagi memastikan teknologi digunakan secara bertanggungjawab.
“Teknologi seharusnya memperkukuh pertimbangan yang baik, bukannya menggantikannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar latihan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan profesional terus diberi keutamaan supaya lebih ramai rakyat Sabah mampu menceburi bidang teknikal, pengurusan dan inovasi yang menawarkan nilai tambah tinggi.
Katanya, ekonomi digital yang mampan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kepakaran luar, sebaliknya Sabah perlu terus melahirkan lebih ramai tenaga profesional, usahawan teknologi dan penyedia penyelesaian tempatan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pada akhirnya, kejayaan sesuatu kerjasama teknologi akan diukur berdasarkan keupayaannya meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat tempatan dan mewujudkan nilai berkekalan kepada Sabah,” katanya.



