BEAUFORT: Seorang lelaki warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dua kes berasingan membabitkan kesalahan cabul dan sumbang mahram yang dipercayai berlaku di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort hasil maklumat yang diterima berhubung kedua-dua kes berkenaan.
Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Siasatan bermula selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa pertama yang mendakwa telah dicabul oleh suspek. Mangsa tampil membuat laporan kerana berasa terancam dan bimbang akan keselamatan dirinya sekiranya pulang ke kampung halaman.
“Hasil siasatan awal kemudiannya membawa kepada pembongkaran satu lagi kes yang lebih serius apabila suspek disyaki melakukan perbuatan rogol terhadap anak kandungnya sendiri secara berterusan sejak mangsa masih kanak-kanak.
“Susulan itu, mangsa kedua yang masih di bawah umur telah tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Champin berkata, polis telah membuka dua kertas siasatan berasingan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan dan Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol oleh bapa atau saudara terdekat.
Beliau berkata, PDRM memandang serius kes-kes jenayah seksual dan komited mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat tanpa sebarang kompromi bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kes penderaan, penganiayaan atau jenayah seksual diminta segera tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk melindungi mangsa dan memastikan pelaku dihadapkan ke muka pengadilan,” tegasnya.



