HomeUtamaESSCOM bongkar pelbagai aktiviti haram, tindakan penguatkuasaan cecah RM433,077

ESSCOM bongkar pelbagai aktiviti haram, tindakan penguatkuasaan cecah RM433,077

Read Time:3 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) membongkar pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang menerusi Operasi Bersepadu selama dua hari di beberapa lokasi sekitar Sandakan yang berakhir pada Khamis.

Operasi yang dijalankan di kawasan penempatan koloni setinggan sekitar Jalan Istana, Kampung Tabah Baru, Kampung Karamunting dan Pusat Bandar Sandakan itu menyaksikan penahanan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI), selain tindakan penguatkuasaan, rampasan, kompaun dan anggaran kerugian berjumlah RM433,077.

Selain itu, operasi itu turut mengesan pelbagai kesalahan membabitkan imigresen, penyeludupan, penyalahgunaan barang kawalan, sambungan utiliti haram, pelanggaran undang-undang pekerjaan, pelesenan perniagaan serta jenayah terhadap hidupan liar.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara berfokus dan berasaskan risikan dalam memelihara keselamatan, ekonomi serta kesejahteraan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Menurutnya, operasi berkenaan bukan sahaja berjaya membanteras kehadiran PATI, malah mengesan pelbagai bentuk pelanggaran undang-undang yang memberi implikasi kepada keselamatan negara, hasil kerajaan dan kesejahteraan komuniti.

“Kadar pengesanan yang tinggi menunjukkan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan secara berfokus dan berasaskan risikan terus membuahkan hasil.

“Kejayaan ini membuktikan ancaman terhadap keselamatan di ESS Zone bukan hanya melibatkan jenayah rentas sempadan atau kehadiran PATI semata-mata.

“Sebaliknya turut merangkumi pelbagai bentuk aktiviti ekonomi haram yang memberi kesan langsung kepada hasil kerajaan, peluang pekerjaan rakyat tempatan dan keselamatan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam operasi itu, seramai 25 PATI terdiri daripada 21 warga Filipina dan empat warga Indonesia ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Dalam aspek pembanterasan penyeludupan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai RM20,000, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 1,105 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM2,762 serta menyita sebuah kenderaan bernilai RM20,049, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM22,811.

Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) pula merampas 300 kilogram kabel sambungan elektrik haram bernilai RM15,000 selain menganggarkan kerugian hasil akibat sambungan elektrik secara tidak sah mencecah RM300,000 setahun.

Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) turut menyita pelbagai barangan jualan tanpa lesen bernilai RM6,500 serta mengeluarkan satu kompaun bernilai RM300, manakala Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengeluarkan dua notis hadir ke pejabat atas kesalahan penyambungan bekalan air secara tidak sah melibatkan nilai kompaun RM600.

Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 20 kertas siasatan kompaun di bawah Seksyen 58 Ordinan Buruh (Sabah Bab 67), sembilan notis pelbagai kesalahan serta mengarahkan pembayaran tunggakan gaji minimum sebanyak RM116, menjadikan nilai keseluruhan tindakan penguatkuasaan RM60,116.

Operasi berkenaan turut menyaksikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan menahan dua lelaki bersama 0.07 gram dadah disyaki syabu untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam usaha memelihara khazanah biodiversiti Sabah pula, Jabatan Hidupan Liar Sabah berjaya merampas 1,550 biji telur penyu yang dianggarkan bernilai RM7,750, sekali gus menghalang ia daripada memasuki pasaran gelap dan menyokong usaha pemuliharaan spesies marin yang dilindungi.

Victor berkata, pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang menggabungkan pelbagai agensi membolehkan tindakan menyeluruh diambil terhadap setiap bentuk kesalahan yang dikesan tanpa kompromi.

Beliau berkata, operasi itu melibatkan 263 pegawai dan anggota daripada ESSCOM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), KPDN, JTK, SESB, JANS, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa agensi berkaitan.

Menurutnya, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada Operasi SANGGAH ESSCOM yang dilaksanakan bagi memperkukuh operasi keselamatan sedia ada di bawah PDRM, ATM dan APMM di samping membantu jabatan serta agensi penguatkuasaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan memastikan pematuhan undang-undang di ESS Zone.

“ESSCOM akan terus mempertingkat pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan, analisis ancaman dan kerjasama strategik antara agensi.

“Selaras dengan hasrat ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, operasi bersepadu akan terus diperkasakan bagi membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan, memperkukuh pematuhan undang-undang serta memastikan ESS Zone kekal selamat, stabil dan kondusif demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS perluas inovasi STEM menerusi kolaborasi industri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular