HomeUtamaSewakan akaun bank, remaja didenda RM10,000

Sewakan akaun bank, remaja didenda RM10,000

Read Time:1 Minute, 22 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan didenda RM10,000 atau berdepan tiga tahun penjara jika gagal bayar kerana terbabit dalam transaksi tidak sah menggunakan akaun banknya.

Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Vianney Christy, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang RM28,000 ke dalam akaun banknya tanpa maksud yang sah di Kampung Kinapulidan, Ranau, pada 27 Februari 2026.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM150,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa pengadu mempunyai tunggakan bil elektrik sebelum talian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai Sarjan Fariz dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Individu itu mendakwa pengadu terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram sebelum mengarahkannya membuat bayaran.

Pengadu kemudian memindahkan RM28,000 ke sebuah akaun bank sebelum menyedari dirinya diperdaya lalu membuat laporan polis.

Siasatan mendapati tertuduh merupakan pemilik akaun bank berkenaan sebelum ditahan di Penampang untuk diambil keterangan.

Berdasarkan hasil siasatan, tertuduh mengaku menyerahkan akaun bank dan kad ATM miliknya kepada seorang individu yang hanya dikenali sebagai Leong Khai untuk tujuan meminjam akaun serta menerima wang sewaan sebanyak RM150.

Tertuduh juga gagal mengambil tindakan untuk menyekat atau menutup akaunnya walaupun sedar maklumat akaun tersebut telah diberikan kepada pihak luar dan berpotensi disalah gunakan.

Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia Fair in Seoul 2026 sasar promosi global produk Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular