HomeUtamaFKAT tarik kehadiran peserta dari luar negara

FKAT tarik kehadiran peserta dari luar negara

Read Time:1 Minute, 46 Second

TAWAU: Kehadiran peserta daripada beberapa negara luar selain dari dalam negara untuk menyertai Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) mengukuhkan lagi peranan Tawau sebagai sebuah bandar sempadan yang kaya dengan jaringan diplomasi budaya dan kerjasama serantau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ini sekali gus membuktikan FKAT ada kelasnya yang tersendiri sehingga berjaya menarik perhatian meluas di peringkat nasional mahu pun antarabangsa.

“Keunikan budaya yang kita miliki inilah kekuatan kita dan festival ini bukan sahaja memperlihatkan keunikan citra masyarakat kita, tetapi juga menjadi simbol perpaduan kukuh rakyat berbilang etnik di negeri ini.

“Keunikan inilah yang menjadi tarikan peserta dari negara luar antaranya Kazakhstan,Uzbekistan, Kemboja dan Indonesia untuk menyertai festival ini. Sudah pasti ini akan memperkukuh peranan daerah Tawau sebagai salah satu destinasi pelanconganbudaya yang dinamik, makmur, serta sentiasa mendapat tempat di hati para pelawat dari seluruh negara mahu pun pelancong antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau Kali Ke-11 Tahun 2026, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata FKAT mampu menjadi platform besar untuk mengetengahkan khazanah budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini.

“Budaya bukan sekadar khazanah sejarah, tetapi juga aset yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang. Saya yakin festival ini mampu membawa impak besar ke atas sektor pelancongan dan ekonomi tempatan di Tawau.

“Kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa sempena festival ini bukan setakat untuk mengenali khazanah budaya kita tetapi turut memberi limpahan rezeki kepada semua yang terlibat secara tidak langsung.

“Ini termasuk usahawan, pengusaha inap desa atau homestay, penggiat seni dan peniaga kecil sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan negeri akan mempergiatkan inisiatif, program dan acara berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya Tahun Melawat Sabah 2027.

“Kita akan menganjurkan lebih banyak promosi termasuklah pelancongan berasaskan komuniti serta pengukuhan kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa. Festival kebudayaan seperti ini adalah salah satu platform untuk membantu usaha ini.

“Kerajaan juga akan terus menyokong dan membantu pertubuhan etnik dalam usaha menjaga hal ehwal adat istiadat, seni dan budaya masing-masing, di negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

PM Ucap Tahniah Kepada BN di Negeri Sembilan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular