Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda keseluruhan RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Piril Bulnio, 58.
Bagi pertuduhan pertama, Piril didenda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda kerana membekalkan elektrik dengan mengambil elektrik daripada talian perkhidmatan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) kepada empat rumah dan sebuah kedai di kawasan kediamannya di Manggatal tanpa lesen pengagihan pada 25 Februari 2025.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 8(1)(b) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 8(7)(b) enakmen sama. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda kerana memasang pendawaian pintasan daripada talian perkhidmatan SE pada pendawaian sedia ada di rumahnya tanpa kelulusan bertulis daripada SE pada masa dan tempat yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Subseksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Piril didenda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda kerana secara mengambil elektrik melalui pintasan secara terus yang disambung dari talian bekalan utama tanpa melalui meter milik SE ke empat buah rumah dan sebuah kedai di kawasan kediamannya pada masa dan tempat yang sama sehingga mengakibatkan SE terkurang caj dan mengalami kerugian.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 61(3)(i) enakmen sama. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Piril turut mengutip bayaran bulanan daripada penghuni empat rumah dan sebuah kedai bagi bekalan elektrik haram yang dibekalkannya.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie mengendalikan pendakwaan, manakala Piril diwakili peguam Jakariya Ab Jalil secara pro bono.



