HomeUtamaKPDN Labuan kompaun pengusaha kafe guna alat timbang tidak ditentusahkan

KPDN Labuan kompaun pengusaha kafe guna alat timbang tidak ditentusahkan

Read Time:1 Minute, 37 Second

LABUAN: Seorang pengusaha kafe di Labuan dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan selepas didapati menggunakan alat timbang digital yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.

Tindakan itu diambil dalam pemeriksaan bersepadu yang dijalankan dua pasukan penguat kuasa KPDN di sekitar bandar Labuan pada Isnin bagi memastikan tahap pematuhan peniaga terhadap perundangan yang dikuatkuasakan kementerian.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, berkata pemeriksaan berkenaan melibatkan pelbagai jenis premis perniagaan termasuk pasar raya, kedai runcit, restoran, kafe dan premis perniagaan lain.

Katanya, fokus pemeriksaan tertumpu kepada pematuhan penandaan harga, penggunaan alat timbang dan sukat bagi tujuan perdagangan serta pematuhan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961 menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).

“Hasil pemeriksaan mendapati pengusaha kafe terbabit menggunakan sebuah alat timbang digital yang tidak ditentusahkan untuk menentukan kuantiti hidangan makanan yang dijual mengikut berat dalam ukuran gram seperti dipromosikan menerusi menu premis.

“Alat timbang tersebut digunakan bagi tujuan perdagangan dan wajib ditentusahkan mengikut kehendak Akta Timbang dan Sukat 1972 bagi memastikan bacaan yang diberikan adalah tepat, melindungi hak pengguna serta menjamin amalan perdagangan yang adil dan telus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, penggunaan alat timbang yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Junaidah berkata, KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus memperhebat aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan setiap peniaga mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Selain tindakan penguatkuasaan, katanya, sesi advokasi turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran peniaga mengenai tanggungjawab mematuhi kehendak perundangan, khususnya berkaitan penggunaan alat timbang dan sukat dalam urusan perdagangan.

Beliau turut menyeru semua peniaga supaya memastikan alat timbang yang digunakan bagi tujuan perdagangan sentiasa ditentusahkan sebelum digunakan dalam urus niaga, selain menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan salah laku perdagangan melalui saluran aduan rasmi KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Borneonisasi perkhidmatan awam, kesihatan dan pendidikan antara agenda penting MTPMA63 –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular