HomeUtamaPemilik gagal isytihar 12 kontena, 348 tan daging sejuk beku dirampas -...

Pemilik gagal isytihar 12 kontena, 348 tan daging sejuk beku dirampas – AKPS

Read Time:2 Minute, 32 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sebanyak 348 tan daging sejuk beku bernilai RM3.42 juta dirampas selepas pemilik gagal mengisytiharkan 12 kontena dalam tempoh ditetapkan di Pelabuhan Sepanggar menerusi operasi penguatkuasaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Mohd Suhaily (tengah) bersama pegawai agensi menunjukkan daging sejuk beku yang dirampas di Pelabuhan Sepanggar pada sidang media di sini, hari ini.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata rampasan itu adalah susulan operasi terdahulu, operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu (Ops Ribat Sepanggar) pada Julai lalu yang menyaksikan 14 kontena ditahan dengan nilai rampasan hampir RM3 juta.

Beliau berkata, 12 kontena berkenaan tidak diperiksa ketika operasi pertama kerana pemilik masih diberi tempoh 30 hari untuk membuat pengisytiharan mengikut peruntukan undang-undang.

“Bagaimanapun, selepas tempoh itu tamat dan tiada sebarang pengisytiharan dibuat, AKPS menjalankan pemeriksaan pada 16 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 11 kontena mengandungi daging ayam sejuk beku manakala sebuah lagi mengandungi daging khinzir dengan anggaran berat keseluruhan 348,000 kilogram bernilai RM3.42 juta,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, semua produk haiwan itu dipercayai dibawa masuk dari China dan Hong Kong, walaupun kemasukan produk makanan sejuk beku dari kedua-dua negara berkenaan tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati terdapat unsur salah pengisytiharan apabila sebahagian kontena diisytiharkan sebagai “frozen food” atau sayur-sayuran, sedangkan kandungannya adalah daging sejuk beku.

“Kesalahan bukan sahaja membabitkan kegagalan membuat pengisytiharan, malah terdapat elemen penipuan melalui pengisytiharan yang tidak benar,” katanya.

Menurut beliau, sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil menuntut 12 kontena berkenaan kerana tiada pengisytiharan dibuat, menyebabkan identiti pemilik sebenar masih belum dikenal pasti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana gagal membuat akuan penuh dan benar serta mengemukakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sedang meneliti kemungkinan mengaitkan ejen atau pihak lain yang terbabit sebelum tindakan pendakwaan diambil.

Beliau berkata, berdasarkan risikan, semua produk yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan di Sabah.

Katanya, pemeriksaan turut menemukan label halal yang diragui, termasuk logo halal Thailand dan Malaysia, sedangkan semakan mendapati kapal yang membawa kontena itu tidak pernah singgah di Thailand, sebaliknya belayar terus dari Hong Kong.

“Modus operandi sindiket adalah membuat pengisytiharan palsu pada manifes dan deklarasi bagi mengelirukan pihak berkuasa. Namun, hasil risikan dan semakan terhadap dokumen berjaya membongkar penyelewengan itu,” katanya.

Beliau berkata, sejak April lalu, AKPS telah menahan hampir 40 kontena dengan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM6.7 juta menerusi beberapa operasi di Sabah.

Pada masa sama, beliau berkata, AKPS Bintulu turut menahan sembilan kontena minggu lalu dengan nilai rampasan kira-kira RM3.14 juta bagi kesalahan salah pengisytiharan di bawah peruntukan undang-undang yang sama.

Katanya, AKPS akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan di seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) serta Pihak Berkuasa Pelabuhan bagi membanteras kemasukan produk haiwan secara tidak sah.

RELATED ARTICLES
Utama

Tipu guna iklan sewa rumah di Facebook, lelaki dipenjara empat tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular