HomeUtamaPemimpin masyarakat, Ketua Adat perlu proaktif bantu selesaikan isu dokumentasi – Joachim

Pemimpin masyarakat, Ketua Adat perlu proaktif bantu selesaikan isu dokumentasi – Joachim

Read Time:3 Minute, 9 Second

RANAU: Pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu menyelesaikan isu dokumentasi membabitkan anak-anak serta penduduk yang masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap dan sah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata pemimpin masyarakat seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Kapitan merupakan individu paling hampir dengan masyarakat setempat.

Menurutnya, golongan berkenaan mempunyai pengetahuan mengenai latar belakang serta sejarah keluarga penduduk di kawasan masing-masing, sekali gus mampu membantu pihak berkuasa mendapatkan maklumat yang tepat dalam menangani kes dokumentasi.

“Mereka merupakan individu yang paling hampir dengan masyarakat dan mempunyai pengetahuan mengenai latar belakang serta sejarah keluarga penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Mahkamah Bergerak Daerah Ranau di Sekolah Kebangsaan (SK) Tibabar, di sini, hari ini.

Joachim berkata, kerjasama pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat yang tepat, sahih dan lengkap kepada pihak berkuasa, khususnya dalam kes dokumentasi yang memerlukan pengesahan mengenai latar belakang individu serta keluarga.

Sehubungan itu, beliau berharap Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah Ranau memberi penekanan kepada semua Ketua-Ketua Adat supaya mengambil peranan lebih aktif dalam mengenal pasti serta membantu menyelesaikan isu dokumentasi yang berlaku dalam komuniti masing-masing.

“Jika kamu benar-benar mengenali penduduk berkenaan dan keluarganya di kampung itu, bantulah mereka dalam urusan mendapatkan dokumen yang sah.

“Namun, sekiranya individu berkenaan tidak dikenali dan kamu tidak mengetahui latar belakangnya, nyatakanlah dengan jujur bahawa kamu tidak mengenali mereka. Jangan sesekali memberikan pengesahan terhadap perkara yang kita sendiri tidak pasti,” tegasnya.

Menurutnya, ketegasan berkenaan penting kerana pengesahan daripada pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat membantu pihak berkuasa mendapatkan maklumat yang tepat sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Pada masa sama, Joachim berkata Ketua-Ketua Adat juga perlu membantu mengenal pasti kes dokumentasi yang masih belum diselesaikan di kampung masing-masing supaya masalah berkenaan tidak terus berlarutan.

“Jangan kita biarkan masalah dokumentasi ini berlarutan sehingga akhirnya diwarisi oleh anak-anak dan generasi seterusnya.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara adil, telus dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan masih terdapat penduduk tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap dan sah termasuk pendaftaran kelahiran lewat, perkahwinan campur antara penduduk tempatan dengan warga asing, ketiadaan dokumen pendaftaran perkahwinan serta kelewatan membuat kad pengenalan diri.

Katanya, isu berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada individu terbabit, malah berpotensi menjadi masalah berpanjangan kepada anak-anak dan generasi seterusnya sekiranya tidak ditangani segera.

“Ketiadaan dokumen yang sah boleh menyebabkan anak-anak berdepan kesukaran mendapatkan akses pendidikan, melanjutkan pelajaran, memperoleh pekerjaan yang baik serta menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim berkata Program Mahkamah Bergerak amat signifikan dalam membantu menyelesaikan kes-kes dokumentasi yang telah berlarutan sekian lama, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Menurutnya, program berkenaan membawa perkhidmatan terus kepada rakyat dan memastikan setiap kes yang layak diberikan perhatian serta diproses mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

“Program ini membawa perkhidmatan terus kepada rakyat dan memastikan setiap kes yang layak diberikan perhatian serta diproses mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya mengambil serius kepentingan memiliki dan mengurus dokumen pengenalan diri serta dokumen berkaitan keluarga sejak awal bagi mengelakkan masalah dokumentasi menjadi lebih rumit pada masa hadapan.

Joachim berkata, semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, Ketua-Ketua Adat, agensi kerajaan dan masyarakat setempat perlu bekerjasama dalam mengenal pasti kes-kes dokumentasi serta membantu pemohon melalui saluran dan prosedur yang sah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Program Mahkamah Bergerak Siri Keempat di Daerah Ranau, termasuk agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat.

Katanya, usaha bersepadu semua pihak penting bagi memastikan isu dokumentasi rakyat dapat ditangani secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang.

RELATED ARTICLES
Utama

Wanita tersalah tekan pedal, Proton X70 rempuh ruang pelepasan KKIA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular