KUALA LUMPUR: Ukraine melihat Sabah sebagai antara pasaran berpotensi bagi memperluaskan kemasukan produk negara itu ke Malaysia, khususnya produk makanan berkualiti tinggi termasuk konfeksi dan wain Ukraine.
Kedutaan Ukraine di Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menggalakkan pengimport dan pengedar tempatan di Sabah meneroka peluang membawa masuk produk Ukraine ke pasaran negeri itu.
Menurut kedutaan berkenaan, beberapa produk makanan Ukraine termasuk konfeksi dan wain telah diperkenalkan menerusi pameran di Kuala Lumpur baru-baru ini dan berjaya menarik minat pengguna tempatan serta antarabangsa.
“Kami amat berminat mempromosikan produk makanan Ukraine berkualiti tinggi, termasuk konfeksi dan wain Ukraine, yang baru-baru ini dipersembahkan dalam pameran di Kuala Lumpur dan telah menarik minat pengguna Malaysia serta asing.
“Kami juga berbesar hati untuk melihat penglibatan lebih luas dengan komuniti perniagaan di Sabah dan menggalakkan pengimport serta pengedar tempatan meneroka peluang memperkenalkan produk Ukraine ke pasaran Sabah,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan itu berharap rakyat Sabah berpeluang menikmati dan mengenali produk Ukraine termasuk wain, konfeksi serta pelbagai produk lain dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama, Ukraine melihat potensi besar untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan Malaysia selain memperkukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Kedudukan Malaysia yang strategik, persekitaran perniagaan yang maju serta rangkaian kukuh dengan negara ASEAN dilihat mampu menjadikan negara ini sebagai pintu masuk penting bagi produk Ukraine ke pasaran Asia Tenggara yang lebih luas.
Menurut kedutaan itu, Malaysia bukan sahaja merupakan pasaran penting bagi Ukraine, malah berpotensi berkembang sebagai hab serantau bagi pengedaran produk Ukraine di Asia Tenggara.
“Kedutaan kekal komited untuk menyokong syarikat Ukraine meneroka pasaran Malaysia dan ASEAN serta membantu mewujudkan perkongsian baharu antara syarikat Ukraine dan Malaysia.
“Kami melihat Malaysia bukan sahaja sebagai pasaran penting, tetapi juga sebagai hab serantau yang berpotensi bagi produk Ukraine di Asia Tenggara,” katanya.
Usaha berkenaan dijangka membuka ruang kepada hubungan perniagaan lebih luas antara syarikat kedua-dua negara, termasuk peluang kerjasama dengan pengimport dan pengedar yang berpangkalan di Sabah.



