KOTA KINABALU: Sebanyak 200 magnet Jalur Gemilang dan bendera Sabah bagi kenderaan diagihkan sempena Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS 2026 di stesen PETRONAS Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), di sini pada Ahad.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, program yang dilaksanakan serentak di 15 stesen PETRONAS terpilih di seluruh negara itu merupakan langkah menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta Hari Sabah 2026.
“Inisiatif di bawah kluster industri berkenaan menyokong pelaksanaan Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG) menerusi kerjasama strategik antara Jabatan Penerangan (JAPEN) Malaysia dan PETRONAS.

“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen erat antara sektor awam dan korporat dalam menyokong agenda kenegaraan sekali gus memperluas penyampaian mesej patriotisme dan semangat cintakan negara kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui media pada program berkenaan.
Mengulas lanjut, Jainisah menyatakan program itu turut diserikan dengan kehadiran Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 yang turut melibat rakan strategik pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
“Antara agensi yang terlibat termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Perbadanan Kemajuan Film Nasional Malaysia (FINAS), Telekom Malaysia (TM), Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta syarikat swasta, Maxim,” jelasnya.
Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif 1R1JG akan diteruskan ke kluster lain seperti rumah ibadat, sekolah, institusi pendidikan tinggi (IPT), persatuan sukan dan premis keselamatan bagi menggalakkan setiap kediaman serta premis mengibarkan sekurang-kurangnya satu Jalur Gemilang dan satu bendera Sabah.
“JAPEN Sabah kekal komited memikul tanggungjawab menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah di negeri ini biarpun berdepan pelbagai cabaran semasa,” katanya.



