Wan Azrain Adnan
Seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara, jumlah pekerja sektor formal terus meningkat. Ramai pekerja turut menikmati pendapatan bulanan yang lebih tinggi. Namun, di sebalik perkembangan yang kelihatan positif ini, satu persoalan penting masih belum terjawab: adakah kenaikan tersebut benar-benar mencukupi untuk membolehkan rakyat hidup dengan lebih selesa?
Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada akhir Julai menunjukkan bahawa jumlah pekerja formal kini mencecah 7.05 juta orang. Daripada jumlah itu, 3.88 juta atau 55.0% ialah lelaki, manakala 3.17 juta atau 45.0% ialah wanita.
Secara keseluruhan, jumlah pekerja formal meningkat 3.8% berbanding Mac 2025. Bilangan pekerja lelaki bertambah 3.7%, sementara pekerja wanita mencatat peningkatan lebih tinggi, iaitu 4.1%. Ini menggambarkan pasaran pekerjaan formal yang semakin berkembang dan lebih ramai rakyat memperoleh pekerjaan yang mempunyai kontrak serta ganjaran tetap.
Menurut definisi DOSM, pekerja formal ialah individu yang bekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau latihan perantisan bermajikan dan menerima ganjaran bagi kerja yang diselesaikan. Takrif ini tidak merangkumi pekerjaan bukan standard seperti individu bekerja sendiri, pekerja gig dan pekerja keluarga tanpa gaji. Oleh itu, angka 7.05 juta tersebut hanya memaparkan sebahagian daripada realiti pasaran buruh negara.
Masalah yang lebih besar terletak pada kadar upah. Pada Mac 2026, median upah bulanan pekerja sektor formal berada pada RM3,027. Angka ini hanya meningkat RM27 berbanding RM3,000 pada Mac 2025. Kenaikan yang terlalu kecil ini sukar dianggap sebagai kemajuan bermakna, khususnya ketika kos sara hidup terus menekan perbelanjaan isi rumah.

Memang ada perkembangan yang memberangsangkan. Hanya 7.9% pekerja formal masih menerima upah bulanan di bawah gaji minimum RM1,700, berbanding 9.9% setahun sebelumnya. Ini menunjukkan lebih ramai pekerja telah melepasi paras gaji minimum. Namun, laporan tersebut tidak memperincikan sektor yang masih membayar upah di bawah kadar itu. Ketiadaan maklumat ini menyukarkan kita mengenal pasti kelompok pekerja yang paling terdedah dan sektor yang memerlukan perhatian segera.
Taburan upah turut menunjukkan bahawa kelompok terbesar pekerja formal, iaitu 18%, berada dalam julat RM1,700 hingga RM1,999 sebulan. Mereka disusuli oleh kumpulan berpendapatan RM2,000 hingga RM2,499 sebanyak 12.7%. Pada hujung yang lain, 12.2% menerima RM10,000 dan ke atas. Gambaran ini memperlihatkan jurang yang ketara: sebahagian besar pekerja masih tertumpu pada tangga gaji rendah, sedangkan satu kelompok yang lebih kecil menikmati pendapatan jauh lebih tinggi.
Jurang upah juga masih wujud antara lelaki dengan wanita. Pada Mac 2026, median upah bulanan pekerja formal lelaki warganegara ialah RM3,064, sedikit melebihi median nasional RM3,027. Median bagi pekerja wanita pula ialah RM3,000. Perbezaannya mungkin kelihatan kecil pada angka bulanan, tetapi tetap mencerminkan ketidakseimbangan yang perlu ditangani secara berterusan.
Perbezaan yang lebih besar dapat dilihat mengikut kumpulan etnik. Bumiputera membentuk kumpulan pekerja formal terbesar dengan 4.43 juta orang atau 62.9%, diikuti pekerja Cina sebanyak 1.98 juta atau 28.1%, dan pekerja India sebanyak 540.9 ribu atau 7.7%.
Namun, median upah bulanan tertinggi direkodkan oleh pekerja Cina pada RM4,600, jauh melebihi median nasional. Mereka disusuli pekerja India pada RM3,000, Bumiputera pada RM2,600 dan kumpulan lain-lain pada RM2,400. Statistik ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai perbezaan angka, tetapi sebagai isyarat bahawa akses kepada pekerjaan bernilai tinggi dan peluang peningkatan pendapatan masih tidak seimbang.
Dari sudut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan menggaji 4.81 juta pekerja atau 68.3% daripada keseluruhan pekerja formal, dengan median upah bulanan RM3,064. Namun, jurang di dalam sektor yang sama amat luas. Subsektor kewangan dan insurans mencatat median tertinggi sebanyak RM7,700, manakala subsektor makanan dan minuman hanya RM2,164.
Sektor perlombongan dan pengkuarian pula hanya merangkumi 0.5% pekerja formal, tetapi merekodkan median upah tertinggi antara semua sektor, iaitu RM9,678. Sebaliknya, sektor pertanian yang menggaji 130 ribu orang atau 1.8% pekerja formal mencatat median paling rendah, hanya RM2,327.
Dengan upah serendah itu, tidak menghairankan apabila ramai rakyat kurang berminat untuk bekerja dalam sektor pertanian. Lebih-lebih lagi, pekerjaan pertanian masih dipandang sinis sebagai pekerjaan 3D—kotor, berbahaya dan sukar. Jika negara mahu memperkukuh keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, usaha memodenkan sektor pertanian mesti disertai peningkatan upah, perlindungan pekerja dan laluan kerjaya yang lebih baik.
Jurang wilayah juga amat jelas. Median upah bulanan tertinggi direkodkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada RM4,527, diikuti Selangor RM3,445 dan Pulau Pinang RM3,064. Hanya tiga kawasan ini mencatat median yang melebihi paras nasional RM3,027.
Tarikan upah yang lebih tinggi dan peluang pekerjaan yang banyak menyebabkan hampir separuh pekerja formal tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur. Selangor menempatkan 1.99 juta pekerja formal atau 28.2%, manakala Kuala Lumpur mempunyai 1.45 juta atau 20.6%. Sebaliknya, median upah terendah direkodkan di Kelantan pada RM1,827, Perlis RM1,855 dan Sabah RM2,082. Jurang ini menjelaskan mengapa penghijrahan tenaga kerja ke pusat ekonomi utama terus berlaku.
Hakikat paling membimbangkan ialah separuh daripada 7.05 juta pekerja formal menerima upah RM3,027 dan ke bawah. Median ini masih lebih rendah daripada kadar Gaji Kehidupan Wajar RM3,100 yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Ertinya, walaupun seseorang mempunyai pekerjaan formal, pendapatannya belum tentu mencukupi untuk menikmati taraf hidup yang baik.

Panduan Perbelanjaan Belanjawanku 2024/2025 menetapkan RM3,100 sebagai anggaran perbelanjaan bulanan minimum bagi mencapai taraf hidup yang wajar. Panduan itu dibangunkan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya. Apabila median upah masih berada di bawah penanda aras tersebut, sebahagian besar rakyat sememangnya akan terus bergelut dengan kos perumahan, makanan, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan keperluan keluarga.
Keadaan ini menjadi lebih paradoks apabila dibandingkan dengan petunjuk ekonomi negara yang memberangsangkan. Pada 2025, Keluaran Dalam Negeri Kasar berkembang 5.2%. Malaysia juga merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM426.7 bilion, yang dijangka menjana 244,902 peluang pekerjaan.
Malah, jumlah pelaburan diluluskan melonjak dengan ketara dalam tempoh enam tahun: daripada RM164 bilion pada 2020 kepada RM306.5 bilion pada 2021, RM264.6 bilion pada 2022, RM329.5 bilion pada 2023, RM378.5 bilion pada 2024 dan RM426.7 bilion pada 2025. Prestasi ini membuktikan bahawa ekonomi negara terus berkembang dan berupaya menarik modal dalam skala besar.
Pasaran buruh juga kelihatan kukuh. Pada suku pertama 2026, kadar pengangguran kekal rendah pada 2.9%, berbanding 3.1% pada tempoh sama 2025 dan 3.3% pada 2024. Kadar 2.9% itu ialah paras terendah dalam tempoh lebih sedekad sejak November 2014, ketika pengangguran berada pada 2.7%. Jumlah penganggur turut menurun kepada 506.5 ribu orang, berbanding 522.5 ribu pada suku pertama 2025 dan 551.6 ribu pada suku pertama 2024.
Namun, pekerjaan yang banyak tidak memadai jika upah yang diterima masih rendah. Inilah cabaran sebenar ekonomi Malaysia hari ini: pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan dan kadar pengangguran yang rendah belum diterjemahkan secara menyeluruh kepada peningkatan pendapatan rakyat.
Perubahan struktur ke arah ekonomi bernilai tinggi dan pekerjaan berpendapatan tinggi sememangnya mengambil masa. Tetapi tempoh menunggu itu tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan pekerja terus ketinggalan. Dasar pelaburan perlu memberi penekanan yang lebih tegas kepada kualiti pekerjaan, produktiviti dan pertumbuhan upah, bukan sekadar jumlah pekerjaan yang diwujudkan.
Upah di Malaysia memang meningkat, tetapi masih terlalu rendah bagi ramai pekerja. Ukuran kejayaan ekonomi tidak seharusnya berhenti pada angka KDNK, nilai pelaburan atau kadar pengangguran. Kejayaan sebenar hanya tercapai apabila pertumbuhan tersebut dapat dirasai melalui pendapatan yang lebih bermaruah dan kehidupan yang lebih berkualiti untuk rakyat.



